
Peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili pasukan peguam Ali Mohamad daripada BN berkata, mahkamah dijangka mendengar kes itu pada hujung bulan ini atau awal April.
“Pihak-pihak sedang membincangkan tarikh sesuai untuk membolehkan rayuan didengar secepat mungkin,” katanya kepada FMT selepas prosiding dalam talian di depan Timbalan Pendaftar Suhaila Haron.
Aleef diwakili peguam Chetan Jethwani dan Angeline Lai, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Low Wen Zhen hadir bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut undang-undang pilihan raya, petisyen itu mesti diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Ali memfailkan petisyen itu pada 14 Dis, tidak lama selepas keputusan PRN Melaka diwartakan.
Pada 30 Dis lalu, hakim Azman Abdullah menolak semua bantahan awal Aleef dan SPR, seterusnya membuka ruang untuk mendengar dakwaan rasuah dikemukakan Ali yang kalah dengan majoriti 530 undi dalam saingan empat penjuru.
Responden memohon petisyen itu dibatalkan kerana prosedur tidak dipatuhi.
Azman menetapkan lima hari pada April untuk prosiding petisyen itu bagi mendengar keterangan saksi.
Ali memohon keputusan PRN itu dibatalkan, selain meminta mahkamah membuat perintah yang difikirkan wajar kerana mendakwa kemenangan Aleef tercemar kerana elemen rasuah.
Dalam petisyennya, Ali berkata, Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah daripada PN membantu Aleef memenangi kerusi itu yang mempunyai ramai bilangan pengundi dalam kalangan anggota tentera.