
Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, berkata pelaksanaan itu membabitkan peruntukan RM37.3 juta bagi Fasa 1 untuk 10,662 kelas Tahap 1 dengan 323,186 murid di seluruh negara.
“Bagi Fasa 2, penyediaan lokar akan diperluas kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi yang dijangka pada 2023.
“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di kelas masing-masing,” katanya menerusi mesej video dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Radzi berkata, penyediaan kemudahan lokar itu antara tujuh pendekatan diambil KPM bagi mengatasi isu beg berat yang membelenggu murid sejak 30 tahun lalu.
Bagi pendekatan kedua, beliau berkata KPM akan melaksanakan jadual waktu yang mengehadkan jumlah mata pelajaran diajar di sekolah kepada tiga atau empat subjek sehari.
Katanya, melalui pendekatan itu, pihak sekolah perlu mengambil kira pelaksanaannya dengan melihat aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan, selain sekolah akan diberi kelonggaran menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu.
“Ia berdasarkan jadual waktu mengikut kitaran minggu. Hanya subjek tertentu akan diajar dalam satu-satu minggu itu. Ini bagi membolehkan jumlah buku teks atau aktiviti dibawa ke sekolah dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan ketiga adalah berkaitan buku latihan, yang mana pemerhatian KPM di sekolah mendapati ramai murid membawa lebih daripada dua buku latihan untuk sesuatu subjek yang secara tidak langsung menambah berat kepada beg mereka.
“Justeru, kita menetapkan bilangan buku latihan untuk sesuatu subjek tidak melebihi dua buku pada satu-satu masa dan setiap buku latihan ini tidak boleh melebihi 80 halaman,” katanya.
Buku aktiviti
Radzi berkata, pendekatan keempat membabitkan buku aktiviti dan kerja dengan murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti disediakan KPM.
Katanya, buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau ulang kaji di luar waktu PdP di sekolah, selepas pihaknya mendapati ramai murid membawa pelbagai buku berkenaan yang secara tidak langsung menambah kepada berat beg mereka.
“Pendekatan kelima adalah berkaitan buku teks digital dan KPM menumpukan penerbitan baharu buku teks dalam format digital yang dilaksanakan secara berterusan.
“Sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA). Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital bagi memudahkan pembelajaran mereka,” katanya.
Dalam pada itu, memperincikan pendekatan keenam, Radzi berkata, ia berkaitan pelaksanaan PdP di sekolah dengan guru digalakkan mengguna pendekatan PdP berpusatkan murid, iaitu pembelajaran bertema, modular, berasaskan projek, simulasi amali atau terbeza.
Katanya, kaedah pembelajaran itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada buku teks semata-mata dalam PdP, selain mampu meningkatkan keberkesanan dan mewujudkan persekitaran PdP lebih menyeronokkan.
FMT sebelum ini melaporkan kisah pelajar Tingkatan 5, Nurul Hanim Fazwin, 17, yang terpaksa menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah.
Masalah itu dikaitkan dengan amalan pelajar berkenaan menggalas beg sekolah berat saban tahun.
Isu itu mendapat respons pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Rata-ratanya mencadangkan sukatan pelajaran dirombak semula serta penggunaan e-buku atau buku elektronik secara meluas.