Kenapa lewat umum siapa Peguam Negara baharu, kerajaan disoal

Kenapa lewat umum siapa Peguam Negara baharu, kerajaan disoal

Presiden Badan Peguam AG Kalidas menasihatkan agar PM tidak menunggu sehingga saat akhir untuk menasihati Agong berhubung perkara itu.

Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara pada 6 Mac 2020, beberapa hari selepas Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
PETALING JAYA:
Presiden Badan Peguam AG Kalidas mempersoalkan kelewatan kerajaan menjelaskan ketidaktentuan mengenai kontrak Peguam Negara (AG) Idrus Harun.

Tempoh jawatan Idrus dijangka berakhir hari ini selepas dilantik pada 6 Mac 2020, beberapa hari selepas Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Kalidas mempersoalkan mengapa berlaku kelewatan dalam pengumuman berhubung perkara ini memandangkan AG adalah jawatan yang begitu penting.

“Lebih berhemat jika Perdana Menteri tidak menunggu sehingga saat-saat terakhir untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan mengumumkan pelantikan jika berlaku kekosongan (jawatan) atau pelanjutan lantikan semasa,” katanya kepada FMT.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Agong melantik Peguam Negara, yang juga pendakwa raya, atas nasihat Perdana Menteri.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak boleh mengesahkan apa-apa. Walaupun saya terlibat, bukan terpulang kepada saya untuk membuat pengumuman kerana Perdana Menteri yang akan berbuat demikian,” katanya dipetik The Vibes.

Idrus, 67, adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan pernah berkhidmat sebagai Peguam Cara Negara serta penasihat undang-undang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau adalah abang kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.