Imigresen siap sedia untuk pembukaan semula sempadan

Imigresen siap sedia untuk pembukaan semula sempadan

Sistem laluan automatik telah diaktifkan manakala pegawai dihantar ke depot sementara yang dibuka sepanjang pandemik dipanggil semula.

Antara pintu masuk antarabangsa utama untuk pembukaan semula sempadan adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangunan Sultan Iskandar, di Johor.
JOHOR BAHRU:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia untuk pembukaan semula sempadan negara, terutama dalam menerima kemasukan pelancong asing, kata Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, antara pintu masuk antarabangsa utama untuk tujuan itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangunan Sultan Iskandar, di Johor.

“Pada 5 Mac (semalam), semua autogate (sistem laluan automatik) telah diaktifkan semula dan pegawai di pintu masuk antarabangsa yang sebelum ini dihantar ke depot sementara yang dibuka sepanjang tempoh pandemik, dipanggil semula,” katanya kepada pemberita semasa operasi besar-besaran bersama JIM Johor, lewat malam semalam.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan pelancong asing memasuki negara dan akan mengetatkan kawalan kemasukan menggunakan pas lawatan sosial, bagi memastikan tidak berlaku salah guna serta masalah tinggal lebih tempoh.

“Mereka (pelancong) harus mengemukakan bukti bahawa mereka mempunyai tempat tinggal di Malaysia, wang sara diri yang mencukupi, dan hanya untuk melancong dengan mempunyai jadual perjalanan,” katanya.

Operasi malam semalam melibatkan anggota dari Ibu Pejabat dan JIM Johor yang membuat serbuan ke atas tiga premis di sekitar Johor Bahru.

Dalam serbuan dijalankan ke atas sebuah kilang di Taman Perindustrian Senai, 185 orang pekerja asing diperiksa dan 64 warganegara India yang didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) ditahan, kerana bekerja dalam sektor yang tidak dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.