Diperdaya ‘pegawai LHDN’, RM63,950 milik doktor lesap

Diperdaya ‘pegawai LHDN’, RM63,950 milik doktor lesap

Suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Zairolnizal, Ishak berkata mangsa dikehendaki untuk memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah pengubahan wang haram.
KOTA MARUDU:
Seorang doktor wanita kerugian RM63,950 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Doktor berusia 31 tahun yang bekerja di hospital daerah ini mendakwa menerima panggilan dari seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN kira-kira jam 1.50 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Zairolnizal, Ishak berkata, suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Katanya, panggilan kemudian disambung kononnya kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka’ dan suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

“Selepas itu, mangsa dikehendaki untuk memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, pada jam 5.30 petang hari yang sama, mangsa mengesyaki dirinya tertipu dan terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Katanya, mangsa kemudian membuat semakan semua akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang.

“Menyedari tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.