Siasat segera undi pos kurang, PKR beritahu SPR

Siasat segera undi pos kurang, PKR beritahu SPR

Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata hanya 7,814 undi pos bagi warganegara Malaysia berada di luar negara yang berdaftar daripada 200,000 rakyat di sana.

Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata SPR perlu mengenal pasti punca berlaku kekurangan undi pos pada PRN ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca berlaku kekurangan undi pos pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata hanya 7,814 undi pos bagi warganegara Malaysia berada di luar negara yang berdaftar daripada 200,000 rakyat di sana.

“Jumlah undi ini sangat membimbangkan. Jika benar terdapat anggaran 200,000 rakyat Johor yang tinggal di Singapura layak mengundi secara pos dan hanya 7,814 yang berdaftar, maka ini hanya 0.04% sahaja.

“Apakah punca begitu rendah peratusnya? Adakah kerana masa, hebahan dan galakkan tidak tidak mencukupi oleh SPR?” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada Jumaat, SPR mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada mereka yang berhak dan layak untuk mengundi pada PRN Johor.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan DUN.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, SPR juga perlu mengkaji sistem pendaftaran undi pos dalam talian yang dipercayai mempunyai masalah teknikal untuk mendaftar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.