Pengundi nak ‘isu poket’, bukan cerita Najib, pemimpin Umno bidas manifesto PH

Pengundi nak ‘isu poket’, bukan cerita Najib, pemimpin Umno bidas manifesto PH

Pemimpin Umno menyifatkan PH kehilangan modal dan tidak memahami bidang tugas kerajaan negeri selain gagal menamakan calon Menteri Besar mereka.

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata rakyat negeri itu mahukan ‘isu poket’ diangkat dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dilihat lebih dekat dengan mereka ketika ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Pengundi di Johor mahu parti politik memberi keutamaan mengenai isu pendapatan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan yang penting ketika ini, kata pemimpin Umno-membidas tawaran Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto diumumkan semalam.

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, berkata rakyat di negeri itu mahukan “isu poket” diangkat dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dilihat lebih dekat dengan mereka ketika ini.

“PH ni dah takde modal, sudah la si tua (Dr Mahathir Mohamad) dengan kurang tua (Muhyiddin Yassin) tu tak habis-habis cerita pasal Najib (Razak), isu nasional, PN (Perikatan Nasional) pun sama cerita isu nasional kononnya nak tegakkan demokrasi.

“Pengundi Johor jangan tertipu lagi dengan helah PH, PN yang dah kehabisan modal sehingga kaitkan PRN dengan PRU (pilihan raya umum), kalau nak tunggu PRU nantilah,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, veteran Umno Shahrir Abd Samad berkata, manifesto PH membuatkan pengundi di Johor keliru disebabkan mereka sendiri yang “keliru” dalam berpolitik.

“Mereka (PH) buat manifesto sebab PRN memerlukan manifesto, sekadar buat saja, nampak sangat PH tak berapa faham bidang tugas kerajaan negeri.

“Patut ceritalah soal bidang kuasa kerajaan negeri, tanah, agama dan lain-lain yang kerajaan negeri boleh laksana. Manifesto PH ini juga dah jadi kosong sebab tiada komitmen daripada kepimpinan negeri yang mereka nak tonjolkan, sebab sampai hari ini pengundi tak tahu siapa MB mereka,” katanya.

Bagi Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, PH sendiri gagal membentuk kerajaan di persada negeri kerana tawaran yang mereka hidangkan bukan satu perkara baharu.

“Ada juga yang cuba mengajar kita dengan model baru ‘multiculturalism’. Kononnya model mereka adalah model terbaik. Lebih penting, adakah mereka jahil tentang model Bangsa Johor iaitu sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan bermuafakat?

“Memajukan negara ini memerlukan idea dan kebijakan. Namun idea dan kebijakan mesti seiring struktur, pengalaman dan hikmah politik. Semua ini membentuk ‘institusi politik’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.