Janji PN nak teruskan projek HSR bohong, tak masuk akal, kata Razlan

Janji PN nak teruskan projek HSR bohong, tak masuk akal, kata Razlan

Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata Muhyiddin Yassin sendiri telah bersetuju HSR dibatalkan ketika menjadi menteri di bawah kerajaan PH.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii menyifatkan manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sekiranya memenangi pilihan raya negeri Johor sebagai pembohongan dan tidak masuk akal.
SIMPANG RENGGAM:
Seorang pemimpin tertinggi Umno menyifatkan manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sekiranya memenangi pilihan raya negeri (PRN) Johor, sebagai pembohongan dan tidak masuk akal.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata, semasa Muhyiddin Yassin menjadi menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), pengerusi PN itu sendiri setuju HSR dibatalkan.

“Masa beliau menjadi menteri di Kabinet (kerajaan PH), beliau setuju untuk HSR ini dibatalkan, atas dasar apa tidak tahu.

“Jadi ini satu janji yang amat tak masuk akal dan juga pembohongan. Penipuan terus dilakukan oleh PN,” katanya kepada FMT ketika ditemui baru-baru ini di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Simpang Renggam.

Pada 2 Mac lalu, PN berkata ia akan menyokong pemulihan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya negeri.

Muhyiddin berkata, beliau telah menyatakan sokongan terhadap projek itu ketika menjadi Perdana Menteri, dengan mendakwa HSR akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada Mac tahun lalu, Malaysia telah membayar RM320.27 juta kepada Singapura bagi kos yang ditanggung membabitkan pembangunan projek HSR serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.

Jumlah tersebut juga mewakili penyelesaian penuh serta akhir berkaitan pembatalan Perjanjian Dua Hala bagi projek HSR pada 31 Dis 2020.

Dalam pada itu, Razlan berkata kerajaan sudah membayar RM320 juta untuk ganti rugi kepada syarikat yang melaksanakan HSR, dengan jumlah itu disifatkan kerugian besar kepada rakyat. Malah beliau turut membayangkan betapa RM320 juta itu boleh membantu ribuan orang miskin yang terkesan dengan Covid-19.

“Saya harap agar dapat rakyat Johor menghukum mereka. Ini kerana penipuan dan kerugian rakyat Malaysia untuk membayar RM320 juta kepada kontraktor HSR ini,” katanya.

Selain itu, Razlan turut mempertikaikan semua parti pembangkang dan parti yang berlawan dengan BN dalam PRN Johor kerana tidak menamakan calon Menteri Besar mereka.

“Saya tak faham kenapa susah sangat nak calonkan ketua negeri yang mereka nak perjuangkan. Adakah mereka ini semua sedang berunding untuk melantik satu orang daripada gabungan mereka?

“PN maksudnya akan gabung dengan DAP, DAP gabung dengan PKR, PKR akan gabung dengan MUDA? Ini semua (kerana) mereka tidak dapat nak namakan calon sebab strategi politik, yang akhirnya menunjukkan bahawasanya semua parti ini akan duduk di dalam satu kumpulan yang ada 10 nakhoda,” katanya.

Razlan berkata jika perkara itu terjadi, sudah tentu tidak ada kestabilan untuk rakyat Johor.

Susulan itu, rakyat Johor perlu sedar PN dan pembangkang hanya mahu menumbangkan BN dan Umno tetapi tidak merancang untuk pembangunan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.