CITF-C perinci pemberian vaksin Sinovac untuk kanak-kanak, kata Timbalan Menteri

CITF-C perinci pemberian vaksin Sinovac untuk kanak-kanak, kata Timbalan Menteri

Ia akan diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) malam ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat itu bersama pakar dalam Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG).
BAGAN SERAI:
Perincian perihal pemberian vaksin Sinovac kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) malam ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat itu bersama pakar dalam Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG).

“Semua tahu Pfizer adalah vaksin yang pertama diluluskan secara bersyarat pada 6 Jan lalu untuk kanak-kanak dan kita telah memberikan hampir satu juta (dos pertama vaksin Covid-19) melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

“Pada dasarnya, Sinovac hanya diberikan kepada mereka yang ada alergi dengan Pfizer namun kita akan buat keputusan muktamad malam ini setelah perbincangan pelbagai pihak termasuk dengan TWG dan pakar dalam Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di Bukit Merah Laketown Resort hari ini.

Dr Noor Azmi, yang juga Pengerusi CITF-C, berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan kaedah pemberian vaksin kepada pihak sekolah dan swasta selain meminta orang ramai khususnya ibu bapa bersabar kerana bekalan vaksin mencukupi.

Khamis lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan vaksin CoronaVac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd Malaysia kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah diluluskan.

Beliau memaklumkan kelulusan bersyarat itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.