
Mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, di sini, 1 tengahari.
Ketua Polis Daerah Rembau, Hazri Mohamad, berkata kejadian hanya disedari selepas kakaknya mahu membetulkan kain bedung.
Beliau berkata, ketika itu bayi malang tersebut tidak memberi sebarang tindak balas sebelum memaklumkan kepada ibunya.
“Siasatan awal mendapati, ibu bayi berusia 42 tahun menyusukannya jam 12.30 tengah hari tadi. Selepas ditidurkan bayi itu diletakkan di ruang tengah rumah.
“Kira-kira 30 minit kemudian kakak bayi itu ingin membetulkan kain bedung sebelum mendapati adiknya tidak bertindak balas,” katanya dalam kenyataan.
Hazri berkata, bayi itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Rembau sebelum doktor bertugas mendapati tiada nadi dikesan dan badannya sejuk.
Beliau berkata, prosedur kecemasan dengan memberikan bantuan pernafasan dijalankan, namun tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.
“Bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian belum dijalankan kerana masih menunggu laporan keputusan ujian Covid-19. Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat ibu bayi berkenaan 5 petang tadi,” katanya.
Hazri berkata doktor yang merawat mangsa turut memaklumkan Nurul Ain Darwisya dilahirkan dalam keadaan sempurna tetapi wajahnya menunjukkan tanda sindrom Down dan pemeriksaan susulan sepatutnya akan dilakukan apabila bayi itu berusia sebulan.
Beliau berkata tiada unsur jenayah dalam kes itu dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.