Tunjukkan kejantanan, debat isu projek sekolah, Wee cabar Guan Eng

Tunjukkan kejantanan, debat isu projek sekolah, Wee cabar Guan Eng

Presiden MCA itu tekad membuktikan pemimpin DAP itu salah dengan mendakwa MCA tidak banyak membantu dalam pembiayaan sekolah Cina.

Presiden MCA, Wee Ka Siong mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk berdebat isu itu.
PETALING JAYA:
Presiden MCA, Wee Ka Siong mencabar pemimpin DAP, Lim Guan Eng supaya “menunjukkan kejantanan” dan berdebat dakwaan beliau tidak memainkan peranan dalam pembinaan sebuah sekolah Cina di Johor.

Wee berkata, beliau tekad membuktikan Lim salah apabila mendakwa MCA tidak banyak membantu dalam pembiayaan sekolah Cina, menurut laporan media.

Wee berkata, beliau memandang serius dakwaan berkenaan dan “mahu mengajar” Setiausaha Agung DAP itu, malah hanya memerlukan 20 minit untuk melakukannya.

Beliau juga sanggup membayar RM4,500 untuk menyewa dewan di Bangunan Persekutuan Tiong Hua Johor Baru pada Ahad untuk debat berkenaan, sebelum Lim melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung DAP, menurut laporan Malay Mail.

Menurut laporan NST, Lim mendakwa Wee tidak memberikan sumbangan sebanyak beliau dalam pembinaan SJKC Kuek Ho Yao di Seri Austin, Johor Bahru.

Sebelum ini, Wee juga mencabar bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching untuk berdebat isu pendidikan Cina, yang telah disahut Teo.

MCA bertanding 15 kerusi dalam pilihan raya negeri Johor pada 12 Mac ini. Parti komponen Barisan Nasional itu tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.