Tempahan janji temu PICKids diperluas ke seluruh negara mulai 7 Mac

Tempahan janji temu PICKids diperluas ke seluruh negara mulai 7 Mac

Menerusi aplikasi MySejahtera, ibu bapa atau penjaga boleh memilih tarikh, masa dan PPV yang dikehendaki untuk anak mereka menerima vaksin.

Ibu bapa disyorkan mengemas kini aplikasi MySejahtera kepada versi terkini sebelum menempah janji temu melalui sistem pengurusan tempahan.
KUALA LUMPUR:
Sistem tempahan janji temu untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) menerusi aplikasi MySejahtera dibuka di seluruh negara pada 7 Mac ini, bagi membolehkan ibu bapa atau penjaga mendaftar janji temu vaksinasi anak mereka.

ProtectHealth dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sistem yang sebelum ini dilaksanakan di Lembah Klang sejak PICKids dilancarkan 3 Feb lepas, diperluas ke seluruh negara sebagai usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan, kesihatan dan perlindungan kanak-kanak terhadap varian Omicron.

“Selepas mendaftarkan anak sebagai tanggungan, ibu bapa atau penjaga boleh memilih pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menempah janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera dan memilih tarikh dan masa dikehendaki.

“Mereka disyorkan mengemas kini aplikasi kepada versi terkini sebelum menempah janji temu melalui sistem pengurusan tempahan…Bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun, anda (ibu bapa atau penjaga) harus memilih Pfizer (kanak-kanak) sebagai jenis vaksin,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dr Anas Alam Faizli menasihati ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk anak bagi melindungi mereka daripada komplikasi serius, terutamanya Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem dalam Kanak-kanak (MIS-C).

Katanya, tujuh kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah meninggal dunia akibat MIS-C akibat jangkitan Covid-19 di Malaysia pada bulan lalu, dan kes itu dilihat semakin meningkat.

“Kajian menunjukkan vaksin Pfizer kanak-kanak berkesan dan mampu meningkatkan imuniti terhadap Covid-19, serta mengurangkan risiko penyakit serius daripada virus itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, 821 fasiliti kesihatan swasta (klinik swasta, hospital pakar swasta, hospital swasta dan pusat jagaan ambulatori) dan 91 PPV Offsite di bawah ProtectHealth menyediakan vaksinasi di bawah program PICKids.

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga boleh mencari PPV pilihan mereka untuk PICKids di bawah ProtectHealth sebagai senarai rujukan menerusi www.protecthealth.com.my.

Berdasarkan data dikongsi ProtectHealth, sehingga 28 Feb, sejumlah 879,264 dos vaksin di bawah PICKids telah diberikan sejak dilancarkan 3 Feb lalu, dan 568,731 atau 64.6% menerusi pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan di bawah ProtectHealth.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.