
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyentuh isu itu di Dewan Rakyat semalam, selepas Najib dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan mengenainya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua kemudiannya mengemukakan usul meminta Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan dewan dengan ucapannya mengenai 1MDB Rabu lalu.
“Secara spesifiknya, tidak ada satu sen hutang prinsipal 1MDB pernah dibayar oleh kerajaan. Ini adalah palsu kerana kerajaan telah membayar RM8.8 bilion prinsipal dan faedah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan,” katanya.
FMT melihat bagaimana isu ini berlarutan.
Apa kata Najib di Dewan Rakyat?
Dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada Rabu, Najib berkata, Ahli Parlimen tidak sepatutnya memberikan alasan bahawa hutang 1MDB merosakkan kewangan negara dengan mendakwa hutang prinsipal 1MDB tidak pernah dibayar sejak 2018.
“Hakikatnya, satu sen pun hutang prinsipal 1MDB tidak pernah dibayar. Pada 2018 hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion. Pada 2019 hutang RM32 bilion. Pada 2020 hutang RM32 bilion. Pada 2021 hutang RM32 bilion.”
Apa kata Tengku Zafrul?
Semalam, Lim yang merupakan Ahli Parlimen Bagan, bertanya kepada Tengku Zafrul mengenai kenyataan Najib berhubung pembayaran balik hutang 1MDB dan menteri itu menjawab: “Baki komitmen kami adalah sekitar RM38 bilion. Prinsipalnya RM32.3 bilion, faedahnya RM6.5 bilion.
“Jadi dakwaan hutang prinsipal 1MDB belum dibayar sehingga kini adalah tidak berasas memandangkan ia tidak akan matang sehingga tempoh tertentu.”
Tengku Zafrul berkata, Malaysia sedang membayar faedah ke atas hutang prinsipal.
Apa kata Guan Eng sekarang?
Lim kemudiannya mengeluarkan kenyataan dengan berkata, Tengku Zafrul “bersetuju bahawa ia adalah tidak berasas” untuk Najib mendakwa “tiada satu sen pun dana awam telah digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik hutang 1MDB”.
“Sebagai bekas Menteri Kewangan, saya tahu ini tidak benar apabila Najib mendakwa hutang 1MDB tidak merosakkan kewangan negara susulan Goldman Sachs, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) memulangkan dana 1MDB berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.
“Jelasnya, semua bayaran ini tidak mencukupi untuk membayar balik jumlah prinsipal dan faedah bagi hutang 1MDB berjumlah RM52 bilion, dengan jumlah prinsipalnya ialah RM32 bilion.
“Setakat ini kerajaan telah membayar semula hutang sebanyak RM13.3 bilion dengan jumlah yang masih tertunggak sebanyak RM38.81 bilion setakat 31 Dis tahun lalu, menurut Kementerian Kewangan.”
Apa kata Najib tentang semua ini?
Melalui catatan yang dibuat serta merta di Facebook, Najib berkata, Tengku Zafrul telah mengesahkan kenyataannya bahawa tiada satu sen pun daripada RM32 bilion hutang prinsipal telah dibayar kerana hutang belum matang dan RM6.5 bilion faedah telah dibayar sejak 2009 apabila bon 1MDB pertama dikeluarkan.
Najib berkata, kedua-dua pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menyebut hutang 1MDB sebanyak RM32 bilion sebagai punca kewangan negara berada dalam keadaan semakin teruk.
Namun katanya, kedua-dua pentadbiran tidak membayar satu sen daripada hutang prinsipal RM32 bilion yang tertunggak.
Untuk rekod, ia dilaporkan pada 2015 bahawa hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion. Sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion.
“Persoalannya mengapa kerajaan PH dan PN menjual banyak aset, mengambil wang daripada Petronas, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Khazanah Nasional, di samping meningkatkan hutang negara sebanyak RM320 bilion dengan menggunakan alasan hutang RM32 bilion 1MDB, tetapi tidak membayar satu sen hutang prinsipal?”
Jika pembayaran prinsipal ini dibuat lebih awal Najib berkata, negara akan dapat menjimatkan pembayaran faedah.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kira-kira RM23 bilion daripada perjanjian penyelesaian dan pemulangan wang termasuk daripada Goldman Sachs (RM16.4 billion), DOJ (RM3 bilion), Ambank (RM2.8 bilion), KPMG (RM340 juta) dan Deloitte (RM324 juta), tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Adakah Najib mengelirukan dewan?
Ini yang perlu ditentukan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ialah Najib seolah-olah membayangkan bahawa tiada satu sen pun hutang prinsipal 1MDB telah dibayar selepas 2018, manakala Pua berkata, Ahli Parlimen Pekan itu mengelirukan dewan dengan membayangkan bahawa tiada pembayaran balik pernah dibuat untuk hutang prinsipal 1MDB.