Seludup dadah dalam tisu basah ke hospital, wanita diburu polis

Seludup dadah dalam tisu basah ke hospital, wanita diburu polis

Polis berkata, dadah jenis heroin itu bagi kegunaan pesakit yang berada di wad selama dua minggu kerana patah tulang belakang akibat terjatuh.

Dua paket plastik seberat 2.25g yang mengandungi dadah disyaki heroin bernilai kira-kira RM600 dan pemetik api yang dirampas polis. (Gambar Polis)
PETALING JAYA:
Taktik mengirim dadah yang dipercayai heroin dalam bungkusan tisu basah untuk pesakit lelaki di Hospital Teluk Intan terbongkar, selepas perbuatan itu dikesan jururawat semalam.

Dalam kejadian 4.05 petang itu, jururawat berkenaan memaklumkan pengawal keselamatan hospital menerima bungkusan plastik daripada seorang wanita untuk diserahkan kepada pesakit lelaki berusia 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri berkata pesakit terbabit berada di wad selama dua minggu kerana patah tulang belakang akibat terjatuh.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan itu mendapati ia mengandungi biskut dan tisu basah sebelum jururawat terbabit membuka tisu itu dan menemui paket plastik lutsinar disyaki heroin dan pemetik api.

“Polis yang menerima maklumat itu ke hospital berkenaan pada 5 petang semalam dan merampas dua paket plastik seberat 2.25g bernilai kira-kira RM600 dan pemetik api berkenaan.

“Polis turut merampas telefon pesakit berkenaan untuk siasatan lanjut dan mengesan rakan perempuannya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Adnan berkata, siasatan awal mendapati pesakit berkenaan menghubungi rakan wanitanya yang dikenali sebagai “Ika” dari Ayer Itam, Chui Chak untuk mengambil dan menghantar barang terlarang itu ke hospital bagi kegunaannya.

Katanya, hubungan mereka lebih kepada jiran sekampung dan wanita terbabit sudah bersuami.

“Kita sedang mengesan wanita berkenaan untuk mengetahui dari mana dadah itu diperolehi. Kita juga memeriksa rumahnya, tetapi tiada penghuni dan kemungkinan dia sudah melarikan diri.

“Suspek lelaki yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah akan ditahan, selepas selesai menerima rawatan di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.