PRN Johor: Manifesto PH berbeza walaupun nampak sama dengan parti lain, kata Penyelaras PH Johor

PRN Johor: Manifesto PH berbeza walaupun nampak sama dengan parti lain, kata Penyelaras PH Johor

Aminolhuda Hassan berkata ada manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak pernah ditawarkan Barisan Nasional (BN) walaupun telah mentadbir Johor lebih 60 tahun.

Pemimpin dan calon PH Johor pada majlis pelancaran manifesto di Batu Pahat hari ini. Turut hadir Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh (dari kiri, depan), Ketua Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong.
BATU PAHAT:
Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Johor Aminolhuda Hassan menegaskan manifesto PH yang ditawarkan, hari ini, kepada rakyat Johor berbeza, walaupun kelihatan menyamai parti lain.

Beliau menjelaskan, ada manifesto PH tidak pernah ditawarkan Barisan Nasional (BN), walaupun telah mentadbir Johor lebih 60 tahun.

“Pertama sekali kalau kita lihat setiap tawaran itu mungkin ada yang sama, tetapi ada perbezaan.

“Sebagai contoh kita sedia maklum bahawa kerajaan BN telah tadbir Johor lebih 60 tahun daripada awal kemerdekaan sampai 2018, tetapi ada tawaran kita kemukakan tidak pernah ditawarkan kerajaan BN seperti air percuma, kad sihat, insentif tambah bilangan jumlah bantuan kewangan kepada mahasiswa, dan juga untuk warga emas,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan manifesto PH, di sebuah hotel, di Batu Pahat.

Aminolhuda yang juga Ketua Amanah Johor, berkata tawaran PH lebih tumpu kepada kepentingan rakyat dan bukannya kepada pemimpin politik.

Sementara itu, Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, mendakwa bahawa janji BN dan Perikatan Nasional (PN) seperti enakmen antilompat, dana sama rata untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penubuhan jawatankuasa pilihan di Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah idea yang pertama kali dicetuskan parti PH, sejak awal.

“Ini adalah idea-idea yang telah kami cadangkan sejak dahulu lagi. Sekarang apa yang kita dapati ialah pihak lain (BN dan PN) juga menerima idea-idea ini,” katanya.

Terdahulu, PH melancarkan manifestonya untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor dengan berjanji akan melaksanakan enakmen antilompat parti dan memberi peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat, jika gabungan itu menang, pada 12 Mac ini.

Gabungan itu turut berikrar akan bekerjasama dengan Putrajaya untuk menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri dalam sektor kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam, selain melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pada 1 Mac lalu, BN menerusi manifestonya turut berjanji akan menyediakan peruntukan sama rata kepada semua ADUN tanpa mengira parti, sekiranya ia membentuk kerajaan Johor dan melaksanakan persempadanan semula jika mendapat majoriti 2/3.

Tiga teras utama dalam tawaran PH itu adalah membina semula ekonomi rakyat, menjamin kesejahteraan rakyat dan mewujudkan pentadbiran bersih, cekap serta bermaruah.

Dalam perkembangan lain, Aminolhuda berkata, setakat ini PH tidak akan mengumumkan calon Menteri Besar Johor untuk gabungan itu.

Katanya, PH hanya akan mengumumkan calon Menteri Besar mereka, selepas menang PRN Johor.

“Calon Menteri Besar kita tak bincang disebabkan perkara-perkara yang lebih penting untuk dapat kemenangan dulu.

“Walaupun yakin boleh menang, tetapi untuk meletakkan seseorang sebagai calon, itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai.

“Bila sudah dapat kerusi yang sebenar, kita akan bincang seperti yang lepas-lepas,” katanya

Aminolhuda juga mengesahkan enakmen antilompat parti akan terpakai untuk semua parti dalam PH.

“Bila enakmen antilompat parti itu maknanya, tak boleh lompatlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah enakmen antilompat parti ini terpakai juga dalam parti komponen PH, susulan tahun lalu, terdapat ADUN Johor daripada Amanah menyertai PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.