Pihak pendakwaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez

Pihak pendakwaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memberitahu hakim, pihak pendakwaan telah menerima representasi daripada keluarga itu pada 15 Feb untuk menyelesaikan permohonan berkenaan.

Kerajaan sebelum ini mahu melucut hak ke atas RM16 juta daripada akaun milik ahli keluarga Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim serta sebuah lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan menarik balik permohonan melucut hak harta bernilai RM16 juta milik ahli keluarga Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin hari ini, pihak pendakwaan menerima representasi daripada keluarga berkenaan pada 15 Feb untuk menyelesaikan permohonan pelucuthakan itu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi awal keluarga itu bulan lepas dan mendorong mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 21 Jun.

Hakim membenarkan kerajaan menarik balik permohonannya dan mengosongkan tarikh perbicaraan tersebut.

Kerajaan mahu melucut hak ke atas RM16 juta daripada akaun milik isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor, dan empat anak mereka – Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwav dan Khaleeda Azeera – serta sebuah lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka.

Azeez, yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, terbabit dalam kes rasuah yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini.

Beliau didakwa atas tiga tuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta dan sembilan tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139.3 juta.

Beliau dikatakan menerima RM5.2 juta itu daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah di Lembah Klang antara Disember 2010 dan April tahun lepas.

Beliau turut dituduh menerima RM139.3 juta daripada empat syarikat, iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP Engineering Sdn Bhd.

Azeez sebelum ini memohon agar tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya dibatalkan atas alasan ia cacat. Permohonan ini kini menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.