Percepatkan IC khas di Sabah, kerajaan negeri digesa

Percepatkan IC khas di Sabah, kerajaan negeri digesa

Penasihat MHO Musa Hassan berkata, ribuan penduduk Sabah berketurunan dari golongan yang sebelum ini dibenarkan tinggal di negeri itu menggunakan kad suaka IMM13, namun keistimewaan itu tidak dibenarkan untuk anak dan cucu mereka.

Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia Musa Hassan (dua dari kiri) berkata, membiarkan golongan tidak bernegara tanpa dokumen yang dapat memberikan mereka akses kepada hak asasi, ibarat ‘menyahmanusiakan’ mereka.
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan Sabah mempercepatkan pengeluaran kad pengenalan (IC) khas kepada golongan tidak bernegara.

Penasihat MHO Musa Hassan berkata, ribuan penduduk Sabah adalah keturunan daripada golongan yang sebelum ini dibenarkan tinggal di negeri itu menggunakan kad suaka IMM13, namun keistimewaan itu tidak dibenarkan untuk anak dan cucu mereka.

Katanya, begitu juga dengan ribuan penduduk asal yang tidak didokumenkan disebabkan faktor geografi, termasuk masyarakat Bajau Laut yang tinggal di laut.

“Tanpa dokumen sewajarnya, mereka tiada akses kepada pendidikan, kerja dan kemudahan kesihatan. Mereka juga manusia, namun jika kita tidak bertindak sekarang maka tidak ubah seperti kita menyahmanusiakan mereka,” kata bekas Ketua Polis Negara itu dalam satu sidang media hari ini.

“Tanpa dokumentasi, mereka juga boleh dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka boleh digunakan musuh kita jika kita tidak membantu mereka, jadi wujud isu keselamatan.”

Gesaannya itu adalah susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin bahawa kerajaan akan menyediakan kad pengenalan khas bagi warga asing yang telah lama tinggal di Sabah.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, cadangan itu masih dibincangkan dan belum ada keputusan muktamad dibuat.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim berkata, ramai golongan tidak bernegara di Sabah yang ditahan dan dihantar ke depoh imigresen, seterusnya menyebabkan lebih banyak ketakpastian berhubung status mereka.

Menurutnya, ada yang ditahan “untuk tempoh lama” di depoh berkenaan termasuk sehingga tiga tahun.

“Kami dihampiri beberapa orang yang mendakwa anggota keluarga mereka yang ditahan sehingga dua atau tiga tahun. Sebagai pengamal undang-undang, saya tidak pernah mendengar mengenai penahanan di depoh untuk tempoh lama sebegitu.

“Depoh sepatutnya menjadi pusat transit sementara tahanan menanti diusir. Sepatutnya pengusiran ini mengambil masa antara dua minggu hingga dua bulan,” katanya.

MHO menyediakan perkhidmatan undang-undang selain memperjuangkan hak kemanusiaan dan kebajikan tahanan di depoh dan masyarakat tidak bernegara.

Hishamuddin menegaskan golongan tidak bernegara ini tidak melakukan sebarang jenayah.

“Mereka dilahirkan di Malaysia, tetapi kebetulan tidak pernah diberikan dokumen rasmi,” katanya.

Beliau menggesa pihak berkuasa melepaskan golongan berkenaan sementara kerajaan negeri memikirkan penyelesaian masalah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.