
Goh Bok Yen berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu membina HSR ke Singapura dan kemudian membina bahagian kedua perkhidmatan itu ke Bangkok.
Beliau berkata, hubungan dengan Singapura lebih masuk akal dari segi ekonomi kerana ia akan memasuki pasaran antarabangsa negara itu dan akan menjamin kesan limpahan di Malaysia.
“Saya tak nampak apa-apa sebab untuk kita berhubung dengan Bangkok kerana aktiviti ekonomi teras (kita) dengan Thailand bukan dengan ibu negaranya, tetapi dengan bandar-bandar sempadan di utara,” katanya.
“Mengapa seseorang mahu mengembara sejauh 1,500km ke Bangkok? Apa tujuannya? Mengapa perlu susah payah berusaha ke Bangkok sedangkan laluan penting ke Singapura tidak lengkap?”
Goh, yang merupakan perunding pengangkutan selama 30 tahun, berkata, kerajaan harus “berfikiran wajar” dan menyiapkan laluan KL-Singapura sebelum mengembangkannya ke Bangkok.
Bagaimanapun, Ahmad Farhan Mohd Sadullah daripada Universiti Sains Malaysia berkata, HSR KL-Bangkok adalah idea yang bernas kerana jaraknya lebih jauh untuk menjustifikasikan penjimatan masa perjalanan.
Katanya, apa yang penting sekarang adalah memastikan tiada pihak berkepentingan terbabit dalam mana-mana kajian kebolehlaksanaan supaya gambaran sebenar dapat diperoleh demi kepentingan rakyat Thailand dan Malaysia.
Farhan, seorang profesor dalam kejuruteraan pengangkutan, berkata, kajian itu harus merangkumi era pascapandemik.
Katanya, bilangan stesen antara kedua-dua bandar juga harus dihadkan atau ia akan bertentangan dengan penjimatan masa perjalanan yang cuba dicapai dengan HSR.
Farhan berkata, projek itu perlu diterapkan dengan rangkaian rel tempatan untuk mendorong bandar-bandar yang mahukan stesen HSR menambah baik pengangkutan awam terlebih dahulu.
“Kajian kebolehlaksanaan harus meliputi laluan ke Singapura juga. Dengan cara itu, kita boleh banding mana yang terbaik,” katanya.
Kerajaan membatalkan projek HSR KL-Singapura itu tahun lepas. Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, mengarahkan kerajaan membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.
Kerajaan sebaliknya mencadangkan menghubungkan Kuala Lumpur dan Iskandar Puteri di Johor dan memulakan kajian tahun lepas.
Pakar pengangkutan memberi amaran projek HSR KL-Johor akan menjadi sia-sia kerana alternatif yang lebih murah sudah tersedia. Mereka sebaliknya menggalakkan kerajaan menghidupkan semula jajaran KL-Singapura seperti yang dirancang sebelum ini.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, kos laluan KL-Johor yang dicadangkan itu adalah antara RM63 bilion dan RM65 bilion, tidak jauh berbeza daripada anggaran asal RM60 bilion hingga RM68 bilion bagi laluan KL-Singapura.
HSR dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit.
Idea untuk membangunkan laluan HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok dicetuskan oleh Muhyiddin di Dewan Rakyat September lepas.