
Parti diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu berkata, ia menyewa premis rumah kedai di Stulang Baru, Johor Bahru itu pada 26 Feb lalu untuk dijadikan bilik gerakan MUDA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Rasid Abu Bakar adalah calon MUDA bagi DUN Larkin.
“Menurut surat kebenaran yang dikeluarkan oleh tuan kedai kepada MUDA, MUDA dibenarkan menyewa premis untuk dijadikan bilik gerakan bagi tujuan politik.
“Kami ingin menegaskan bahawa MUDA bukan penceroboh aset inkubator usahawan seperti yang dituduh oleh PIJ Holdings dan kami menafikan dakwaan tersebut dengan sekeras-kerasnya,” katanya dalam kenyataan.
Malah MUDA berkata, tiada sebarang isu dibangkitkan oleh pihak pengurusan dan pemilik premis ketika kunci diserahkan pada 26 Feb lalu.
“Kami juga menegaskan bahawa setelah seminggu kami beroperasi di premis tersebut, MUDA tidak pernah menerima notis, aduan dan/atau surat daripada tuan kedai atau mana-mana pihak yang menyatakan kami telah menceroboh aset inkubator usahawan.
“Kami juga dimaklumkan oleh tuan kedai bahawa beliau juga tidak pernah menerima notis, aduan dan/atau surat daripada pihak lain berkenaan isu penggunaan premis tersebut oleh MUDA sebelum ini.”
Terdahulu, anak syarikat PIJ Holdings Sdn Bhd membuat laporan polis terhadap MUDA atas dakwaan menceroboh dan menggunakan aset itu tanpa kebenaran sebagai bilik gerakan untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Oleh itu, ia meminta MUDA mengosongkan premis milik PIJ Property Development Sdn Bhd itu yang digunakan untuk membantu usahawan muda memulakan perniagaan mereka.
Syarikat itu berkata, rekod dan komunikasi terkini berhubung premis itu hanyalah dengan seorang individu yang ingin menggunakannya bagi tujuan perniagaan perabot, bukan bilik gerakan parti politik.
Katanya, individu itu juga tidak dibenarkan menyewakan premis tersebut kepada pihak lain.
MUDA berkata, sekiranya mereka perlu mengosongkan premis itu, pemilik atau tuan kedai perlu memaklumkannya kepada parti itu menerusi notis sewajarnya.