PRN Johor: 56 calon PN tandatangan aku janji antirasuah

PRN Johor: 56 calon PN tandatangan aku janji antirasuah

Ikrar 'Aku Janji Anti Rasuah' membuktikan komitmen tinggi PN dalam perjuangan membanteras rasuah dan mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang berintegriti.

Muhyiddin Yassin berkata, PN melaksanakan ikrar ‘Akujanji Antirasuah’ bagi membuktikan komitmen tinggi dalam perjuangan membanteras rasuah dan mewujudkan pentadbiran kerajaan yang berintegriti. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Semua 56 calon Perikatan Nasional (PN) yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini, selesai menandatangani aku janji menentang rasuah.

Majlis menandatangani borang aku janji itu dilaksanakan di sebuah hotel dan disaksikan Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, usaha PN melaksanakan ikrar “Aku Janji Antirasuah” membuktikan komitmen tinggi dalam perjuangan membanteras rasuah dan mewujudkan pentadbiran kerajaan yang berintegriti.

“Banyak kerosakan yang telah berlaku dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan mereka yang diamanahkan untuk memimpin negara. Jenayah rasuah dan pecah amanah berlaku dalam skala yang besar apabila pemimpin tidak berintegriti dan tidak beramanah.

“Berbilion wang rakyat dan aset negara lesap begitu sahaja dan institusi negara rosak dirompak oleh pemimpin yang tidak amanah. Negara menanggung malu dan rakyat menanggung beban hutang yang ditinggalkan oleh pemimpin yang pecah amanah.

“Jenayah penyelewengan 1MDB dan SRC adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Najib Razak,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Katanya lagi, Najib ketika berucap di Parlimen semalam berkata, dana tersebut bukan duit rakyat sebaliknya wang Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain.

Muhyiddin berkata, namun Najib lupa bahawa 1MDB menerbitkan bon-bon yang dijamin oleh kerajaan dan apabila 1MDB gagal membayar hutang, kerajaanlah yang terpaksa membayar keseluruhannya yang berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039.

“Dalam RMK-12, sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah.

“Bayangkan dengan jumlah RM21 bilion ini, banyak projek pembangunan yang boleh dibina untuk rakyat. Sekolah, hospital, jalan raya, landasan kereta api laju, akses internet dan lain-lain. Lebih banyak bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi yang boleh disediakan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Katanya lagi, namun disebabkan pemimpin tidak berintegriti, tidak beramanah, puluhan billion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan.

Muhyiddin turut menggesa rakyat Johor supaya tidak mengulanginya dengan memilih pemimpin tidak berintegriti dan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.