
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemui maut tersepit dalam longkang di belakang sebuah premis di Saratok, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Saratok, Mordani Tanin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa berusia 35 tahun itu kira-kira 4 petang semalam.
“Siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup dari kedai berhampiran mendapati mangsa terjatuh ke dalam longkang dan cuba bangun, tetapi gagal kerana keadaan longkang agak sempit.
“Mangsa dipercayai lemas tersepit dalam longkang itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati keadaan mayat sempurna dan tiada sebarang unsur jenayah, oleh itu kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.