
Dalam jawapan bertulis kepada Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), Hamzah berkata, mengikut pecahan terdapat lapan kes pada 2017 yang tidak didakwa, lima kes (2018), 10 kes (2019), empat kes (2020) dan 17 kes (2021).
“Semua 44 kes ini tidak dapat dituduh di mahkamah dan didakwa kerana tiada tangkapan suspek atau suspek tidak dapat dikenal pasti dalam kes tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, KDN menerusi polis sedang melaksanakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 684 lokap balai polis bagi mengawasi dan memantau Orang Kena Tahan (OKT) di sel lokap bagi membendung kejadian tidak diingini khususnya kematian dalam tahanan.
Beliau berkata, sebagai usaha menambah baik pengurusan tahanan dalam lokap polis, pihak polis menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mewujudkan Custodial Health Unit (CHU) di lima lokap berpusat dan lokap berpusat Bayan Baru, Pulau Pinang dijadikan sebagai projek rintis bagi memastikan tahanan yang ditahan di lokap polis mendapat pemeriksaan kesihatan sewajarnya.
“Inisiatif ini adalah salah satu langkah pencegahan bagi mengelak berlakunya kematian tahanan dalam lokap polis,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ong Kian Ming (PH-Bangi) yang mahu tahu hasil siasatan bagi semua kes kematian dalam tahanan pada 2020 dan 2021 serta langkah-langkah yang telah dan sedang diambil untuk menangani isu berkenaan.
Dalam masa sama beliau berkata, Jemaah Menteri pada 10 Dis tahun lalu bersetuju dengan cadangan KDN untuk melaksanakan inisiatif pemeriksaan kesihatan OKT oleh pengamal perubatan swasta bagi membantu kekurangan pegawai perubatan kerajaan sedia ada.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih kurang 200,000 OKT setiap tahun dan ini sudah pasti membantu dalam memastikan OKT yang ditahan berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka pada 2020 dan daripada jumlah itu tiga kertas siasatan dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), kertas siasatan masih dalam inkues (4), kertas siasatan sedang disemak oleh Timbalan Pendakwaraya (5) , dan kertas siasatan masih menunggu laporan bedah siasat (1).
Manakala itu katanya, bagi tahun 2021, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu sebanyak dua kertas siasatan dalam proses inkues, kertas siasatan disemak oleh Timbalan Pendakwa Raya (3) dan kertas siasatan masih menunggu laporan bedah siasat/laporan kimia (9).
“Semua kertas siasatan tersebut masih di bawah pemantauan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa sehingga semua kertas siasatan berkeputusan,” katanya.