Tiada lagi pengeluaran sebelum bersara, kata KWSP

Tiada lagi pengeluaran sebelum bersara, kata KWSP

Cadangan supaya kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan i-Ceria, iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir tidak akan dilaksanakan KWSP.

KWSP berkata apa yang utama sebagai pengurus dana persaraan adalah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarum.
PETALING JAYA:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa ini tidak bercadang membenarkan lagi pengeluaran oleh pencarum menerusi idea i-Ceria dilontarkan Ahli Parlimen, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan, berkata apa yang utama sebagai pengurus dana persaraan adalah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarum.

Katanya, tempoh bagi tiga skim pengeluaran sudah berakhir iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Tiga skim itu sudah pun berakhir (kemudahan pengeluaran terakhir adalah i-Citra pada bulan lalu).

“Adalah penting bukan hanya melihat kepada permintaan itu (idea i-Ceria) tetapi juga konteks utama KWSP seperti yang saya bentangkan iaitu mengutamakan bekalan simpanan untuk pekerja yang sudah bersara.

“Kita faham apabila kita terima desakan. Tetapi kena ingat mandat diberikan kepada KWSP mengikut akta adalah menolong ahli mencapai simpanan untuk hari tua,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Amir berkata, data pekerja dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sudah memasuki fasa pemulihan ekonomi.

“Saya harap kita tak payah keluar lagi (mengeluarkan KWSP sebelum tempoh masa bersara). KWSP akan terus fokus dengan mandat untuk membina simpanan hari tua pencarum.

“Peranan kita adalah memudahkan kehidupan ahli sewaktu persaraan,” katanya.

Terdahulu dalam pembentangannya, beliau turut menjelaskan pengeluaran KWSP yang sudah dibuat ahli dalam tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, ia membabitkan RM20.8 bilion pengeluaran i-Lestari bagi tempoh April 2020 hingga Mac 2021.

“i-Sinar berjumlah RM58.7 bilion bagi tempoh Jan hingga Dis 2021 dan i-Citra berjumlah RM21.4 bilion untuk tempoh Julai 2021 hingga Feb 2022. Jumlah keseluruhan pengeluaran untuk ketiga-tiga skim dianggarkan RM110 bilion,” katanya.

Berdasarkan rekod, katanya, seramai 7.3 juta ahli memohon sekurang-kurangnya satu atau semua skim berkenaan.

Menurutnya, kesan pengeluaran awal KWSP itu adalah agak membimbangkan kerana ramai ahli berisiko hidup dalam kemiskinan sewaktu persaraan.

“Orang tua tak cukup simpanan untuk bekalan perbelanjaan menjalani kehidupan seharian yang menjadi kebimbangan kami di KWSP. Malaysia negara menua atau akan mempunyai jumlah warga tua yang ramai.

“Penting setiap daripada kita mempunyai sekuriti simpanan untuk digunakan selepas persaraan atau sewaktu tidak lagi bekerja bagi menjana pendapatan,” katanya.

Beliau menegaskan, selain kesihatan, keupayaan kewangan masyarakat dalam golongan berusia juga perlu dijamin.

Semalam, di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jempol, Mohd Salim Sharif mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan i-Ceria KWSP, iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Salim ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.