Siasatan audio tawaran Muhyiddin selesai, ‘tiada elemen kesalahan’, kata Wan Junaidi

Siasatan audio tawaran Muhyiddin selesai, ‘tiada elemen kesalahan’, kata Wan Junaidi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata SPRM telah lengkap menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

SPRM selesai menjalankan siasatan terhadap audio dikatakan mirip suara Muhyiddin Yassin dan mendapati tiada elemen kesalahan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), menurut Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
PETALING JAYA:
Kerajaan menegaskan hasil siasatan terhadap audio mirip suara Muhyiddin Yassin yang didakwa menawarkan jawatan politik dan kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pertukaran sokongan politik diklasifikasikan sebagai “tiada elemen kesalahan”.

Dalam jawapan bertulis kepada Teo Nie Ching (PH-Kulai), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah lengkap menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, SPRM telah selesai menjalankan siasatan terhadap isu yang dibangkitkan.

“Hasil siasatan mendapati tiada elemen kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694),” katanya.

Pada Mei 2020 selepas Langkah Sheraton berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, satu akaun Facebook yang dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad mendedahkan satu rakaman audio yang didakwa dirakam pada mesyuarat majlis tertinggi Bersatu pada 23 Feb 2020.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya mirip dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, didengar mengatakan bahawa Ahli Parlimen UMNO akan bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam GLC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.