Saya diguling kerana lawan rasuah, Muhyiddin jawab dakwaan

Saya diguling kerana lawan rasuah, Muhyiddin jawab dakwaan

Pengerusi Perikatan Nasional itu menolak dakwaan beliau membantutkan kejayaan PH mengheret pemimpin Umno ke mahkamah.

Muhyiddin Yassin berkata, ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Najib Razak sudah didakwa dan mahkamah yang membuat keputusan terhadap nasib Ahli Parlimen Pekan itu.
TANGKAK:
Muhyiddin Yassin menolak dakwaan beliau membantutkan kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengheret Najib Razak ke muka pengadilan, sambil menegaskan dirinya disingkir sebagai Perdana Menteri kerana menentangnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak sedia berkompromi apabila membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dan itu sebabnya saya dijatuhkan,” katanya selepas menghadiri majlis di Bukit Gambir, petang tadi.

Muhyiddin berkata, ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Najib sudah didakwa dan mahkamah yang membuat keputusan terhadap nasib Ahli Parlimen Pekan itu.

“Jadi, ini bukan soal politik lagi, tetapi lebih kepada undang-undang, jadi saya fikir itu adalah yang lebih utama.”

Muhyiddin, yang baru-baru ini mendakwa Najib dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuannya dalam tuduhan rasuah mereka, menjawab dakwaan dikemukakan Dr Mahathir Mohamad.

Dalam surat terbuka itu, Mahathir mendakwa Muhyiddin membantutkan kejayaan PH menghalang pendahulunya terus “menyamun” harta rakyat, selepas menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.

Mahathir berkata, keadaan itu berlaku ketika Muhyiddin mengkhianati pengundi dan rakannya dalam PH, dengan bekerjasama dengan “kluster mahkamah dan kleptokrat” kerana mengejar nafsu untuk menjadi Perdana Menteri.

Kluster mahkamah merujuk sebilangan pemimpin Umno yang dihadapkan ke mahkamah.

Pada 2020, Bersatu yang dipimpin Muhyiddin meninggalkan PH, menerusi tindakan yang dikatakan “Langkah Sheraton”, menyebabkan kerajaan PH selama 22 bulan tumbang.

Susulan itu, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan hasil sokongan BN dan PAS, namun beliau meletak jawatan 17 bulan kemudian, selepas Umno menarik sokongan terhadapnya dan kerajaan PN pimpinannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.