
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, ramai kanak-kanak masih dinafikan pendidikan walaupun wujud dasar negara yang menyatakan ini tidak sepatutnya berlaku kepada bukan warganegara.
“Anggaran konservatif mencadangkan bahawa lebih 300,000 kanak-kanak di Malaysia kini dinafikan pendidikan kerana (berstatus) tidak bernegara, pelarian, pencari suaka atau tidak berdokumen.
“Apa yang mengelirukan adalah penafian akses kepada pendidikan ini berlaku sewaktu wujudnya dasar negara yang menyokong pendidikan untuk semua kanak-kanak di Malaysia, tanpa mengira status dokumentasi mereka,” katanya.
Kumpulan itu berkata, Dasar Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa pendidikan rendah wajib bagi semua kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, termasuk bukan warganegara.
Ia juga menyatakan bahawa kerajaan melancarkan Dasar Sifar Penolakan pada 2018 untuk memastikan semua kanak-kanak di negara ini, termasuk yang tidak berdokumen, mendapat akses kepada pendidikan.
“Kita akan berasa takut jika standard yang sama dipakai untuk anak-anak kita di luar negara,” katanya.
“Apabila ramai antara kita belajar di luar negara, kita diterima masuk dengan mudah ke dalam sistem pendidikan banyak negara lain, namun kita tidak menawarkan perkara yang sama kepada mereka yang datang ke negara kita.”
Kumpulan itu berkata, rakyat Malaysia dan kerajaan “aktif berjuang untuk kanak-kanak Palestin yang berada sejauh 7,600km tetapi tidak berjuang untuk kanak-kanak di negara kita”.
Ia bertanya mengapa dasar terbabit tidak dipandang serius dan dilaksanakan dengan sempurna.
“Adakah ini masalah ‘Napoleon kecil’ tempatan atau KPM mundur dalam dasarnya? Mengapa sekolah meminta dokumen kewarganegaraan sebelum menerima kanak-kanak untuk pendidikan asas?” soalnya.
Ia berkata, pendidikan dapat membantu kanak-kanak dan keluarga keluar daripada “perangkap kemiskinan” dan langkah menafikan pendidikan terus memerangkap mereka dalam masalah itu.
“Mana-mana negara yang tidak menyediakan hak asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan kepada semua kanak-kanak, tanpa mengira status dokumentasi, adalah negara yang gagal,” katanya.
Kumpulan itu termasuk Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Noor Aziah Mohd Awal, Persatuan Pediatrik Malaysia, Majlis Intervensi Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, Women’s Centre for Change, Yayasan Chow Kit, Family Frontiers, pakar perunding pediatrik Dr Amar-Singh HSS, Profesor Madya Naziaty Mohd Yaacob dan aktivis Peter John Jaban.
Bulan lalu, FMT melaporkan bahawa Aziah menggesa kerajaan persekutuan supaya menambah peruntukan bagi meningkatkan akses pendidikan kepada kanak-kanak.