
Dalam jawapan bertulis kepada Madius Tangau (Tuaran-UPKO), Wan Junaidi berkata, satu Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bagi mengkaji peruntukan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun telah ditubuhkan merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang.
Katanya, satu bengkel juga diadakan bersama wakil berkenaan bagi tujuan penetapan dasar pada 25 Jan lalu.
“Sesi libat urus telah diadakan dengan Ahli Parlimen Dewan Rakyat (kerajaan) dan Dewan Negara pada 8 Februari 2022 dan juga Ahli Parlimen Dewan Rakyat (pembangkang).
“Pindaan perlembagaan bagi peruntukan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun akan dibentangkan pada sesi Parlimen Mac ini,” katanya.
Cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun adalah antara intipati yang terkandung dalam perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata, Rang Undang-Undang Parlimen 2022 dan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) akan dibentang dalam sesi Parlimen Julai ini.