Permohonan pulangkan sementara pasport Isa Samad didengar 9 Mac

Permohonan pulangkan sementara pasport Isa Samad didengar 9 Mac

Bekas Pengerusi FELDA itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 24 Feb lalu.

Isa Samad disabitkan bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 9 Mac ini untuk mendengar permohonan bekas Pengerusi FELDA, Mohd Isa Samad untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya di sebuah universiti di United Kingdom akhir bulan ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar, Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini.

“Isa memfailkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 24 Feb lalu,” katanya sambil menambah mahkamah juga menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 3 Feb tahun lalu, Isa, 72, disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya, menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara 6 tahun sahaja, setelah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Nazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan ke atas Isa.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan bersalah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.