
Leissner memberi keterangan dalam perbicaraan Roger Ng, 49, yang mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Leissner, 52, yang merupakan bos kepada Ng di Goldman, mengaku bersalah atas tuduhan sama pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan.
Satu bahagian penting dalam pembelaan Ng cuba menunjukkan bahawa Leissner adalah dalang sebenar rancangan itu dan telah berbohong mengenai penglibatan Ng supaya dia terlepas daripada hukuman penjara.
Dakwaan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah. Pihak pendakwaan berkata, Goldman mengumpul USD6.5 bilion untuk 1MDB melalui jualan bon dan memperoleh yuran USD600 juta dari 2009 hingga 2014, tetapi USD4.5 bilion daripadanya dialihkan kepada pegawai, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.
Pada Selasa, peguam Ng, Marc Agnifilo, menyoal Leissner mengenai hubungan romantiknya dengan lima wanita.
Bekas pegawai bank itu mengakui bahawa dia telah dua kali berkahwin secara rahsia dengan dua wanita pada masa yang sama dan sekurang-kurangnya pernah sekali memalsukan sijil cerai untuk mengelirukan wanita yang ingin dikahwininya.
“Saya banyak berbohong dan saya menyesali pilihan itu,” kata Leissner.
Leissner memberitahu bahawa dia dan Ng memainkan peranan penting dalam rancangan itu dan dia secara peribadinya memindahkan wang sogokan USD35 juta kepada Ng, pegawai bank terkemuka Goldman di Malaysia. Leissner menyelia pasukan Asia Tenggara firma itu.
Leissner berkata, Ng meninggalkan Goldman pada 2014.
Leissner memberi keterangan awal pada Selasa bahawa selepas FBI menyerahkan sepina kepadanya pada Februari 2016, Ng dan isterinya, Hwee Bin Lim, mencadangkan dia berunding dengan pakar feng shui yang mereka percaya untuk bertanya sama ada mereka “akan berdepan masalah”.
Pada akhir pertemuan itu, Leissner berkata dia, Ng dan Lim merekayasa “cerita” yang melibatkan Lim dan isteri Leissner ketika itu, Judy Chan, untuk memberi alasan mengenai dana USD35 juta.
Testimoni berkenaan boleh menjadi masalah kepada Ng, yang berhujah bahawa keuntungan yang diperolehi secara haram seperti dikatakan oleh pihak pendakwaan itu sebenarnya diperoleh daripada usaha perniagaan yang sah antara dua isteri lelaki itu.
Peguam Ng dijangka memanggil Lim untuk memberi keterangan dalam pembelaan suaminya.
Pada 2020, Goldman membayar denda berjumlah hampir USD3 bilion dan mengatur supaya unitnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah di Amerika Syarikat (AS).