
KWSP dalam kenyataan berkata, ia melibatkan agihan RM50.45 bilion bagi simpanan konvensional dan RM6.27 bilion bagi simpanan syariah menjadikan jumlah agihan terkumpul bagi tahun 2021 sebanyak RM56.72 bilion.
Angka itu meningkat berbanding 5.2% bagi simpanan konvensional dan 4.9% bagi simpanan syariah pada 2020, masing-masing melibatkan agihan RM42.88 bilion dan RM4.76 bilion ketika itu.
Pengerusinya Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP berjaya kekal stabil dan berdaya tahan untuk tahun 2021, sebahagiannya kerana mempunyai kedudukan portfolio yang kukuh dan pelaburan yang pelbagai di peringkat global.
“Pengeluaran sebanyak RM101 bilion akibat pandemik telah menyebabkan 48% ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.
“KWSP berharap dividen ini dan prestasi berterusan KWSP akan membantu dalam memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahlinya ketika pemulihan ekonomi berlaku sepanjang tahun ini,” katanya.
Badri berkata, kebimbangan utama lanjutan daripada pengeluaran tersebut adalah kesannya ke atas kecukupan persaraan ahli. Bagaimanapun, KWSP tetap mempunyai keupayaan dan ketangkasan untuk bertindak dengan impak yang minimum terhadap pasaran kewangan, walaupun terpaksa menghadapi cabaran mengurus kecairan akibat aliran keluar itu.
Bagi 2021, KWSP telah mengimbangi semula dan mengurus portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh pada harga yang menarik, selain memanfaatkan pelaburan luar negara yang menyumbang 56% kepada pulangan keseluruhan.
Menurut kenyataan, setakat 31 Dis 2021, KWSP mencatatkan peningkatan 6% dalam jumlah pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020 didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti dan sebahagian besar kelas aset semasa pemulihan global.