
Ketika memberi keterangan pada hari keenam dalam perbicaraan Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia di mahkamah Amerika Syarikat, Leissner menceritakan sekilas apa yang didengarnya daripada Low tentang percubaan perjanjian itu.
Ng, 49, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Leissner berkata, dia tidak mempunyai pengesahan bebas mengenai maklumat itu.
Katanya lagi, Low, yang disifatkannya sebagai dalang skim itu, memberitahunya dalam satu pertemuan pada 2017 bahawa Low dan peguamnya sedang berbincang dengan pentadbiran Trump mengenai perjanjian berpotensi bernilai berbilion dolar yang akan melepaskan beberapa individu daripada tuduhan di Amerika Syarikat.
“Jho agak selesa dan yakin,” katanya.
Low memberitahu Leissner bahawa dia bertemu dengan menantu Trump, Jared Kushner di Beijing dan mengupah Chris Christie, iaitu bekas gabenor New Jersey, sebagai peguamnya dengan menjanjikan bayaran USD10 juta jika penyelesaian itu berjaya, kata Leissner.
Christie berkata, beliau mewakili Low dalam tindakan pelucuthakan sivil di California yang menyebabkan Low menyerahkan USD700 juta kepada Jabatan Kehakiman AS.
Katanya, beliau tidak pernah membuat perjanjian untuk menerima bayaran jika tuduhan digugurkan sebagai ganti bayaran kepada kerajaan AS.
“Tidak pernah ada sebarang perbincangan antara saya dan mana-mana anggota pentadbiran Trump bahawa siasatan jenayah akan digugurkan atau sebarang tuduhan terhadap Low atau sesiapa sahaja diketepikan sebagai ganti bayaran kepada kerajaan,” kata Christie dalam kenyataan.
“Juga tiada sebarang perjanjian bagi yuran kejayaan guaman kepada saya untuk merundingkan keputusan sedemikian.”
Kushner tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.
Low, yang didakwa di Brooklyn pada 2018, belum ditangkap oleh pihak berkuasa AS mahupun Malaysia. Malaysia berkata, Low berada di China, namun dinafikan oleh Beijing.
Pendakwa berkata, Goldman membantu 1MDB mengumpul USD6.5 bilion, tetapi USD4.5 bilion daripada dana itu disalurkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka.
Pada 2020, bank itu bersetuju membayar denda USD3 bilion dan mengarahkan unitnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.