Jabatan Peguam Negara perjelas ketidakhadiran Malaysia dalam timbang tara Sulu

Jabatan Peguam Negara perjelas ketidakhadiran Malaysia dalam timbang tara Sulu

Tuntutan itu tidak bersifat komersial dan oleh itu tidak tertakluk kepada proses timbang tara selain Perjanjian 1878 tidak mengandungi perjanjian timbang tara.

PETALING JAYA: Tuntutan waris kesultanan Sulu bukan bersifat komersial dan tidak tertakluk kepada timbang tara, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menjelaskan mengapa tiada wakil Malaysia dihantar ke prosiding timbang tara di Sepanyol, AGC berkata, Perjanjian 1878 “tidak mengandungi perjanjian timbang tara.”

AGC juga menjelaskan bahawa Putrajaya tidak mengiktiraf tuntutan itu.

“Kerajaan Malaysia juga ingin menekankan bahawa identiti penuntut diragui dan belum disahkan,” katanya.

AGC juga menegaskan bahawa pada tahun 2020, kerajaan Malaysia juga telah memfailkan pengiktirafan dan penguatkuasaan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah.

Mahkamah Sabah mengisytiharkan bahawa Malaysia tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya, penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara itu dan mahkamah Sabah adalah forum semula jadi dan wajar untuk menentukan sebarang tuntutan berkaitan Perjanjian 1878 tetapi permohonan itu masih belum didengar.

Oleh itu, kata AGC bahawa kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya anugerah akhir yang dikatakan berjumlah RM62.59 bilion (USD14.92 bilion) bertarikh 28 Feb, yang diberikan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa.

“Pelantikan penimbang tara bagi maksud Tuntutan tersebut tidak diserahkan dengan teratur kepada Malaysia selaras dengan peraturan-peraturan antarabangsa dan undangundang Sepanyol (“Keputusan Pembatalan”).

“Ia juga tidak selaras dengan keputusan-keputusan kes sebelum ini di bawah Mahkamah Tinggi Madrid bagi maksud proses serahan kepada negara berdaulat,” katanya.

Selain itu, AGC berkata waris, dalam usaha untuk memintas keputusan ini, tanpa pengetahuan kerajaan Malaysia, terus mendapatkan perintah ex parte (Perintah Penggantungan) pada 2020 yang telah dibatalkan.

Walau bagaimanapun, Stampa telah melanggar perintah itu dengan tidak mengendahkan keputusan mahkamah Madrid dan Paris.

“Dalam hal ini, pihak Pendakwa Raya Sepanyol telah memfailkan suatu aduan jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah yang serius dan gangguan profesional.

“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala Tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.