SPRM berkas penolong pengarah disyaki minta RM10,000 percepat surat tanah

SPRM berkas penolong pengarah disyaki minta RM10,000 percepat surat tanah

Suspek dipercayai meminta rasuah daripada orang awam bagi mempercepatkan urusan pengeluaran surat tawaran tanah membabitkan pekebun kecil.

Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
KOTA KINABALU:
Seorang penolong pengarah kanan sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta suapan bagi mempercepatkan urusan pengeluaran surat tawaran tanah membabitkan pekebun kecil.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 54 tahun ditahan pegawai SPRM kira-kira 3 petang hari ini di pejabatnya.

“Suspek dipercayai meminta RM10,000 daripada orang awam bagi mempercepat urusan pengeluaran surat tawaran tanah membabitkan pekebun kecil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (ASPRM 2009),” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.