Speaker benarkan debat usul Anwar berkait dakwaan Leissner di Kamar Khas

Speaker benarkan debat usul Anwar berkait dakwaan Leissner di Kamar Khas

Azhar Azizan Harun memberitahu beliau hanya akan membenarkan perbahasan itu dijalankan di Kamar Khas petang ini.

Azhar Azizan Harun berkata, beliau tidak mahu mengganggu prosiding Dewan Rakyat, selain menyatakan bahawa persidangan hari ini bertujuan memberi tumpuan kepada usul ucapan terima kasih atas Titah Diraja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menerima usul Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk membahaskan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Azhar memberitahu beliau hanya akan membenarkan perbahasan itu dijalankan di Kamar Khas pada 2.30 petang hari ini kerana beliau tidak mahu mengganggu prosiding, selain menyatakan bahawa persidangan hari ini bertujuan memberi tumpuan kepada usul ucapan terima kasih atas Titah Diraja.

Dalam pada Anwar berterima kasih kepada Azhar kerana membenarkan usul itu, tetapi menegaskan ia perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia mendesak dan mempunyai kepentingan nasional.

“Perkara ini agak penting, mendesak dan implikasinya nasional bahkan antarabangsa dan juga imej Bank Negara Malaysia (BNM) dan maruah negara. Saya tidak fikir ia (perlu) dibawa ke Kamar Khas, ia sepatutnya dibahas di sini (Dewan Rakyat),” kata Anwar.

Mula diperkenalkan pada 2016, Kamar Khas berjalan selari dengan Dewan Rakyat dan membenarkan isu-isu berkepentingan negara atau mendesak dibincangkan tanpa mengganggu prosiding biasa Dewan Rakyat. Ia juga disiarkan di televisyen untuk membolehkan media melaporkan prosiding berkenaan.

Semalam, Anwar menggesa Azhar membenarkan perbahasan berhubung dakwaan Leissner mengenai rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam institusi seperti BNM berkait skandal 1MDB.

Leissner ialah saksi utama dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs Malaysia, Roger Ng, yang sedang berjalan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York.

Dalam keterangannya minggu lepas, Leissner memberitahu juri bahawa BNM meluluskan pindahan tukaran mata wang asing sebanyak USD1 bilion “dalam tempoh semalaman” daripada 1MDB kepada PetroSaudi International selepas suami Zeti Akhtar Aziz, yang ketika itu merupakan gabenor BNM, “menerima rasuah untuk melaksanakannya”.

Bagaimanapun, apabila ditanya oleh pendakwa, Leissner tidak dapat mengesahkan sama ada wang itu telah dibayar atau sebaliknya. Suami Zeti, Tawfiq Ayman, menafikan dakwaan itu.

Leissner turut memberitahu juri bahawa dia membelikan untuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro, Rohana Rozhan rumah bernilai USD 10 juta (RM42 juta) di London pada 2013 selepas dia diugut oleh kekasih sulitnya itu untuk mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Menyifatkan 1MDB sebagai satu skandal rasuah terbesar di dunia, Presiden Amanah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mempersoalkan mengapa Azhar tidak mahu membenarkan usul Anwar itu diperdebatkan di Dewan Rakyat.

Beliau secara sinis mengaitkan keterangan Leissner dengan “kehebatan wanita Malaysia sekarang”, merujuk kepada pembelian rumah yang diterima Rohana.

Bagaimanapun, Azhar tetap dengan keputusan mahu membahaskan usul berkenaan di Kamar Khas.

“Wanita memang hebat sebelum ini pun Yang Berhormat. Saya setuju,” kata Azhar. “Jadi, begitulah ‘ruling’ saya, terima kasih”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.