PM tak perlu letak jawatan sekalipun Agong tolak bubar Dewan Rakyat, kata peguam

PM tak perlu letak jawatan sekalipun Agong tolak bubar Dewan Rakyat, kata peguam

Perdana Menteri hanya perlu mengosongkan jawatannya jika majoriti ahli Dewan Rakyat hilang keyakinan terhadapnya, kata Bastian Pius Vendargon.

Seorang peguam berkata, Perdana Menteri boleh memohon perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen dan terpulang kepada budi bicara baginda untuk memperkenan atau tidak memperkenankannya mengikut peruntukan Perlembagaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri boleh kekal memegang jawatan walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Dewan Rakyat, kata seorang peguam perlembagaan.

Bastian Pius Vendargon berkata, Perdana Menteri hanya perlu mengosongkan jawatannya jika majoriti ahli Dewan Rakyat hilang keyakinan terhadapnya.

“Perdana Menteri boleh memohon perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen (Dewan Rakyat) dan terpulang kepada budi bicara baginda untuk memperkenan atau tidak memperkenankannya bawah Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada FMT.

Peguam itu berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bahawa Perdana Menteri perlu meletak jawatan jika Agong tidak memperkenankan permohonan pembubaran.

Mohamad berkata, ini bermakna Agong tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada Perdana Menteri dan mengikut konvensyen beliau harus meletak jawatan.

Pada sidang media di Machap beliau berkata, Umno akan terus mendesak agar pilihan raya umum (PRU) awal diadakan sama ada Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar atau tidak dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor pada 12 Mac.

Beliau berkata, Umno akan mendesak Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen tetapi terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.

“Jika Agong menolak, ia tidak ada kena mengena dengan keyakinan majoriti di Dewan Rakyat dan Ismail tidak perlu risau selagi beliau mendapat sokongan majoriti,” kata Vendargon.

Sokongan atau ketiadaannya untuk Perdana Menteri boleh ditentukan melalui undian dalam dewan dan dalam bentuk akuan berkanun seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009.

Vendargon berkata, Perkara 43(4) hanya terpakai jika Perdana Menteri hilang keyakinan majoriti Ahli Parlimen.

Dalam situasi itu beliau berkata, Perdana Menteri boleh memohon pembubaran dan jika gagal, beliau perlu meletak jawatan agar Agong dapat melantik Ahli Parlimen lain untuk mengisi jawatan itu.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata, Mohamad bercakap mengenai politik tanpa mengambil kira kedudukan sebenar perlembagaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu berjaya memohon pembubaran walaupun sebelum penggal lima tahun tamat.

“Jika pembubaran seperti itu ditolak, ia tidak bermakna mereka hilang keyakinan majoriti,” katanya.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, ketika itu bersama Barisan Nasional/Umno, pernah mengadakan pilihan raya untuk mendapatkan mandat baharu selepas empat tahun atas beberapa sebab termasuk keadaan ekonomi yang baik ketika itu

“Dalam keadaan sekarang, lebih bijak untuk melengkapkan penggal lima tahun disebabkan wabak Covid-19 agar tidak membebankan rakyat tanpa keperluan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.