
Zulkifli Mohamed berkata, sejarah akan menunjukkan bahawa bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mungkin individu pertama tampil dan secara terbuka mengisytiharkan wujudnya kartel korup dalam pasukan polis.
Dengan berbuat demikian, Hamid menegaskan keazamannya untuk cuba menyingkirkan keburukan dalam pasukan polis, kata Zulkifli, yang juga timbalan presiden kumpulan veteran Patriot.
Percubaan Hamid itu digeruni katanya kerana kartel itu semestinya mempunyai sokongan golongan kaya dan berkuasa.
Merujuk kepada pertikaian antara Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Hamid mengenai dakwaan kewujudan kartel polis yang korup, Zulkifli menggesa agar EAIC dikehendaki menjawab kepada jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk menjamin kebebasannya dan memastikan ia tidak berat sebelah.

“Ia tidak boleh berada bawah telunjuk mana-mana ahli politik yang berkhidmat sebagai menteri pengerusi pasukan polis,” kata Zulkifli.
Memberi Parlimen kuasa pengawasan ke atas EAIC “boleh menjadi langkah ke hadapan dalam memulihkan maruah imej pasukan (polis) yang telah lama tercemar”, katanya.
“Adakah EAIC akan menafikan fakta yang diketahui dalam pasukan bahawa untuk disukai pihak atasan dan menjadi ‘salah seorang daripada mereka’, prinsip dan integriti mesti dikorbankan, mesti tunduk dengan membuta tuli kepada perintah mereka dan perintah ‘tangan ghaib’ di atas mereka?”
Pengerusi EAIC Sidek Hassan baru-baru ini mengecam Hamid berhubung isu “kartel polis”, dengan berkata, Hamid telah kehilangan haknya untuk mengulas mengenai perkara itu kerana gagal mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.
Hamid sebelum ini mendakwa Sidek tidak biasa dengan “sistem” dalam pasukan polis.
Zulkifli berkata, “Hamid tidak salah dalam mencabar EAIC kerana polis boleh memberi pengajaran yang banyak dengan syarat mereka tidak akan menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana badan penyiasat yang ditugaskan untuk membetulkan kesilapan mesti mempunyai kemahiran menyiasat, kepakaran dan pengetahuan tentang selok belok dalam pasukan polis supaya dapat menangani masalah yang sudah berakar umbi itu.