Penganjur ceramah PH dihadiri Mat Sabu dikompaun RM3,000 atas 3 kesalahan

Penganjur ceramah PH dihadiri Mat Sabu dikompaun RM3,000 atas 3 kesalahan

Tiga kesalahan itu ialah penceramah tidak memakai pelitup muka semasa berucap, tiada penjarakan fizikal dan tiada laluan keluar masuk serta kod MySejahtera untuk diimbas hadirin.

Cubaan calon PH bagi DUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad (kiri berjaket biru) merayu kepada pegawai kesihatan supaya hanya memberi amaran kepada penganjur ceramah tidak berhasil.
JOHOR BAHRU:
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mengeluarkan kompaun RM3,000 kepada penganjur ceramah Pakatan Harapan (PH) kerana melanggar SOP ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Menurut wakil penganjur, kompaun itu dikeluarkan atas tiga kesalahan, iaitu penceramah tidak memakai pelitup muka semasa berucap, tiada penjarakan fizikal dan tidak menyediakan laluan keluar masuk serta kod MySejahtera untuk diimbas hadirin.

“Mereka kenakan tiga kompaun kepada penganjur, setiap satu RM1,000 dan rayuan boleh dibuat,” katanya.

Ceramah di Bilik Operasi Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Taman Mutiara Rini di Skudai itu, turut dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong, Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz dan calon PH bagi DUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad.

Sebelum itu, Dzulkefly dilihat cuba berunding dan merayu kepada petugas PKD supaya hanya memberi amaran, namun gagal.

Sementara itu, seorang daripada pegawai PKD memaklumkan pihaknya telah memaklumkan penganjur supaya mematuhi semua SOP pada petang tadi.

Sebelum ini, beberapa pemimpin politik, termasuk Barisan Nasional (BN) dan MUDA dikompaun atas kesalahan gagal mematuhi SOP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.