Mahkamah Singapura tangguh keputusan rayuan Nagaenthran

Mahkamah Singapura tangguh keputusan rayuan Nagaenthran

Hakim akan memberi keputusan tidak lama lagi namun tidak memaklumkan tarikhnya.

Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin. (Gambar AFP)
SINGAPURA:
Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menangguhkan keputusan rayuan warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi negara itu.

Pada November 2021, Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan Nagaenthran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mahkamah atas kesalahan pengedaran dadah.

Perbicaraan hari ini didengar di hadapan panel lima anggota terdiri daripada Ketua Hakim Sundaresh Menon dan hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

“Kami akan menangguhkan penghakiman dan akan memaklumkan kepada anda tidak lama lagi,” kata Menon dalam bilik mahkamah yang penuh sesak.

Selain rayuannya, Nagaenthran yang diwakili oleh peguam Violet Netto juga memohon mahkamah menggunakan kuasa untuk memintanya dinilai oleh pakar psikiatri.

“Beliau (Menon) berkata, akan memberikan keputusan tidak lama lagi tetapi tidak menyatakan tarikh. Saya tidak fikir hari ini,” kata Pendakwa Raya Wong Woon Kwong ketika ditanya berhubung jangkaan tarikh penghakiman itu dikeluarkan.

Memakai pakaian seragam penjara berwarna ungu, Nagaenthran dilihat tenang dan melambai ke arah seorang yang dipercayai ahli keluarganya di tempat duduk awam sebelum perbicaraan bermula.

Berasal dari Perak, dia dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin ke Singapura pada 2009.

Rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya ditolak pada 2011.

Pada 2015 Nagaenthran membuat permohonan untuk dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas undang-undang dipinda bagi membenarkan hukuman alternatif.

Pada 2017 Mahkamah Tinggi bagaimanapun mengekalkan hukuman matinya selepas mempertimbangkan keterangan empat pakar psikiatri dan psikologi.

Proses rayuan telah melepasi peringkat akhir dan permohonannya bagi mendapatkan pengampunan presiden ditolak pada 1 Jun 2020.

Kes Nagaenthran menarik perhatian antarabangsa dan pada 7 Nov dilaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes ini.

Pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah diberikan proses yang wajar dan sepenuhnya di bawah undang-undang.

Peguam Nagaenthran mendakwa bahawa dia kurang upaya dari segi intelek.

Nagaenthran dijadual dihukum gantung pada 10 Nov 2021, bagaimanapun dia mendapat penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu tertuduh positif Covid-19 apabila dia hadir untuk rayuan terakhir terhadap hukumannya.

Sementara itu, peguam Nagaenthran, Netto berkata, anak guamnya kini hanya boleh berharap pada “belas kasihan kehakiman”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.