Calon PSM tumpu bantu golongan pekerja

Calon PSM tumpu bantu golongan pekerja

R Arangkannal berkata, isu utama di Kota Iskandar adalah rumah mampu milik dan pengangkutan awam.

Calon PSM, R Arangkannal berkata, politik berasaskan kaum sudah terlalu lama mendominasi landskap politik di negara ini mengakibatkan isu dan cabaran besar yang melanda majoriti rakyat terabai.
JOHOR BAHRU:
Calon sosialis tunggal pada pilihan raya negeri (PRN) Johor mahu menawarkan kepada penduduk Kota Iskandar “politik alternatif” yang memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan pekerja dan komuniti terpinggir.

Pengarah filem, R Arangkannal daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata, politik berasaskan kaum sudah terlalu lama mendominasi landskap politik di negara ini sehingga mengakibatkan isu dan cabaran besar yang melanda majoriti rakyat terabai.

“Politik negara kita dikawal oleh pemimpin politik dan kumpulan elit yang sama. Sudah tiba masanya untuk beralih dan mengubah naratif politik di negara ini.

“Ini yang PSM mahu capai dan ia bermula dengan Kota Iskandar,” kata Arangkannal atau Ara, dalam wawancara bersama FMT.

Ara berkata, golongan pekerja Johor terjejas teruk akibat kesilapan kerajaan dalam mengendalikan wabak Covid-19 dengan ramai dalam kalangan mereka yang jatuh miskin.

Masalah rakyat diburukkan dengan banjir baru-baru ini menyebabkan pengundi dilihat beralih kepada alternatif politik lain untuk memenuhi harapan dan aspirasi mereka.

“Rakyat kecewa dan menunjukkan kemarahan terhadap kerajaan. Mereka mahukan perubahan dan kami percaya kami boleh menyediakan agenda politik segar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Merujuk kepada Koridor Ekonomi Iskandar Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Selatan Johor, Ara berkata, pembangunan mega di Kota Iskandar itu hanya menyasarkan golongan atasan.

Katanya, isu utama yang perlu diselesaikan di situ adalah perumahan mampu milik dan pengangkutan awam untuk golongan pekerja.

“Jika rakyat beri saya peluang dan mandat untuk berkhidmat, dua isu ini akan menjadi keutamaan saya,” katanya.

Ara berdepan pertembungan lima penjuru untuk kerusi bandar tersebut menentang penyandang Dzulkefly Ahmad (Amanah), Pandak Ahmad (Barisan Nasional), Zaini Abu Bakar (Pejuang) dan Samsudin Ismail (Perikatan Nasional).

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan lebih 50% pengundi di Kota Iskandar adalah orang Melayu, Cina (35%) dan India (13%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.