
PASIR MAS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dilihat terjatuh di kawasan banjir dua hari lalu ditemui lemas di belakang sebuah kedai di Kampung Jejuluk, dekat Rantau Panjang, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mayat Ahmad Faizal Zulkefli, 26, ditemui pada 3.30 petang, selepas pencarian Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan serta anggota dari Balai Polis Rantau Panjang.
“Mayat mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan penemuan itu sudah dimaklumkan kepada keluarga si mati,” katanya.
Beliau berkata, kematian terbaharu itu adalah yang kedua akibat bencana banjir di Pasir Mas dan keempat dicatatkan di Kelantan.