SPRM buat permohonan kepada DOJ berkait bekas pegawai bank Goldman

SPRM buat permohonan kepada DOJ berkait bekas pegawai bank Goldman

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu untuk mendapatkan maklumat berkaitan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner.

Menurut sumber SPRM, satu permohonan akan dikemukakan kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Tim Leissner. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan kepada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan maklumat berkaitan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner.

Berita Harian yang memetik sumber memaklumkan, ia bertujuan membantu siasatan SPRM terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Berhad Rohana Rozhan.

Ia susulan dakwaan Leissner bahawa dia diugut oleh Rohana yang dikatakan pernah mempunyai hubungan dengannya supaya membelikan sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM42 juta) di London.

Dakwaan itu dibuatnya ketika memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, AS dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya, Roger Ng berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB), awal minggu ini.

Menurut sumber SPRM terbabit, satu permohonan akan dikemukakan kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Leissner itu.

Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan bahawa dia mempunyai hubungan dengan Rohana.

Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle, mengenai hubungan berkenaan, Leissner berkata, hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.

Hubungan mereka kemudian berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee Simmons.

Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterimanya ketika bekerja dengan 1MDB dan mengakui berbuat demikian, malah membelikan kekasihnyaitu rumah pada 2013 selepas Rohana mengancam untuk mendedahkan pembabitannya dalam 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan dalam konspirasi pengubahan wang.

Sementara itu, sumber terbabit turut memaklumkan SPRM kini mengkaji maklumat dan butiran daripada rakaman percakapan Rohana selepas dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM, kelmarin.

“Buat masa ini belum ada individu lain yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.