
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat mengesahkan helikopter itu tiba di Pelabuhan Klang dari Amerika Syarikat pada 21 Feb lalu.
Katanya, helikopter itu sedang menjalani pemeriksaan demi memastikan ia menepati spesifikasi teknikal dan keselamatan.
“Ketika ini, pesawat tersebut sedang melalui pemeriksaan oleh Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) yang dijangka berjalan lebih kurang enam hari sehingga 2 Mac.
“Seterusnya, enam helikopter ini akan melalui proses penerimaan akhir oleh Tentera Darat dari 3 hingga 27 Mac,” katanya dalam kenyataan.
Jabatan itu berkata, helikopter terbabit dijangka menjadi sebahagian daripada rancangan tiga skuadron penerbangan untuk tugas tinjauan ringan, mengangkat berat dan serangan.
Enam helikopter, buatan gergasi aeroangkasa AS McDonnell Douglas, MD Helicopters Inc, ditempah Kementerian Pertahanan pada 2016.
Tempahan itu menjadi tumpuan kontroversi apabila ia tidak dihantar mengikut jadual pada 2017 dan 2018.
Tarikh akhir selepas itu ialah hujung 2020 yang juga gagal ditepati, dilaporkan akibat isu teknikal.