Remaja 15 tahun korban pertama banjir Terengganu

Remaja 15 tahun korban pertama banjir Terengganu

Sebelum ditemukan lemas mangsa dikatakan bermain air banjir di halaman rumah bersama dua adiknya pada 3 petang.

Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengingatkan ibu bapa memantau anak mereka kerana walaupun air cetek keadaan tetap berbahaya. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas ditemukan lemas berhampiran rumahnya di Kampung Cheneh Baru di Kemaman, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata sebelum ditemukan lemas, mangsa Muhammad Alimi Hashim, 15, dikatakan bermain air banjir di halaman rumahnya bersama dua adiknya pada 3 petang.

“Tiba-tiba mereka sedar mangsa hilang lalu memberitahu keluarga sebelum mencari dan terjumpa mangsa yang pada masa itu sudah lemas. Orang awam kemudian menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Menurutnya, kawasan rumah mangsa dinaiki air sedalam kira-kira 1m.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Hanyan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengingatkan ibu bapa memantau anak mereka kerana walaupun air cetek keadaan tetap berbahaya.

“Saya juga ingin menasihatkan penjala dan pemancing tegar, nak cari ikan dalam musim banjir ini pergilah, tapi tolonglah pakai jaket keselamatan.

“Perkara ini sudah banyak kali diingatkan pihak berkuasa, tolong jaga keselamatan masing-masing di musim banjir ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.