Nilai Rt turun, terlalu awal katakan negara lepasi kemuncak jangkitan Omicron, kata KJ

Nilai Rt turun, terlalu awal katakan negara lepasi kemuncak jangkitan Omicron, kata KJ

Menteri Kesihatan berkata sebanyak 96% kes aktif pulih di rumah dan kapasiti hospital adalah terkawal.

Perak merekodkan nilai Rt Covid-19 tertinggi, iaitu 1.32, diikuti Labuan (1.27), Sarawak (1.24) dan Terengganu (1.22).
KUALA LUMPUR:
Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara berada pada tahap 1.05 semalam, menurun 0.03 berbanding 1.08 yang dilaporkan pada hari sebelumnya.

Bernama melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun nilainya terus menurun, namun masih terlalu awal untuk menyatakan Malaysia telah melepasi kemuncak jangkitan varian Omicron.

“Rt harian kita terus menurun kepada 1.05. Terlalu awal untuk menyatakan kita telah melepasi kemuncak jangkitan (varian) Omicron. Sebanyak 96% kes aktif pulih di rumah dan kapasiti hospital adalah terkawal.

“Jika trend ini berterusan, ia akan diikuti dengan pembukaan sepenuhnya sempadan dan kelonggaran langkah-langkah domestik yang lain,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kemas kini di media sosialnya berkata, Perak merekodkan nilai Rt tertinggi, iaitu 1.32, diikuti Labuan (1.27), Sarawak (1.24) dan Terengganu (1.22).

Sebanyak 24,466 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam, dengan hanya 105 kes termasuk dalam Kategori 3, 4 dan 5, manakala 24,361 kes dalam Kategori 1 dan 2.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.