
Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan berkata andaian kononnya Umno hanya akan mendesak Parlimen dibubarkan lebih awal sekiranya parti itu menang besar dalam PRN Johor adalah tidak benar.
“Bukan kalau menang, soalnya Umno boleh desak atau tak Perdana Menteri (bubar Parlimen adakan PRU), jawapan saya boleh.. sama ada diguna pakai atau tidak itu terpulang kepada Perdana Menteri, ia tidak berasaskan menang atau tidak (PRN Johor),” katanya pada sidang media selepas melawat Balai Islam Bongsu Sepadu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Machap bersama calon BN Onn Hafiz Ghazi hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada Umno mampu mendesak Ismail membubarkan Parlimen secepat mungkin, Mohamad berkata parti itu boleh desak dan sebagai pemimpin Perdana Menteri kena akur.
“Umno boleh desak (bubar Parlimen) atau buat apa sahaja resolusi tapi Perdana Menteri buat keputusan, sebagai pemimpin Umno takkan (Ismail) tak dengar cakap parti.
“Lagi satu kalau Perdana Menteri minta bubar pun tapi Agong taknak tak boleh juga, kalau Agong tak perkenan bermakna Agong tak yakin lagi pada Perdana Menteri dan secara konvensyennya Perdana Menteri kena letak jawatan.
Katanya, untuk itu Perdana Menteri perlu mempertimbang saranan dan suara Umno dan jika tiada kepercayaan meletak jawatan adalah jawapannya.
Mohamad turut menafikan tuduhan kononnya tindakan Umno mahukan PRU dan PRN Johor kerana tamakkan kuasa sebaliknya ia dibuat bagi memastikan kestabilan politik negara.
“Kita nakkan PRU dan PRN seperti di Johor bukan kerana tamak kuasa, bukan kerana nak menganggu gugat tetapi kita nak kembalikan kestabilan negara kestabilan negeri Johor ini, kerana kestabilan punca utama. Bila ada kestabilan, politik keyakinan rakyat ada, pemimpin-pemimpin boleh fokus kepada program mensejahtera dan membangunkan negara.
“Kalau macam sekarang ini untung kita ada MOU dengan pembangkang, kita cuma ada dua majoriti (kerusi Parlimen) bayangkan kalau esok pagi tiga orang sakit perut hanyut… tinggal satu (majoriti) tak boleh…. negara tak boleh beroperasi macam itu. Negara luar mengkaji kita, pelabur asing mengkaji kedudukan politik kita, siapa nak melabur di negara yang tak tentu kestabilannya,” katanya.
Katanya, jika Parlimen dibubarkan sekalipun, ia tidak menjamin BN boleh menang, sebaliknya parti mana mendapat majoriti merekalah bentuk kerajaan termasuk Pakatan Harapan (PH).
“Jangan orang kata saya tamak, saya gila, saya waras lagi. Saya bercakap kerana memikirkan negara saya. Kalau PRU PH menang majoriti tak apa lah, tak semestinya kita minta PRU kita menang, tapi kerajaan mesti kerajaan stabil, boleh urus negara dengan baik.
“Perkiraan kita mengembalikan kestabilan negara seperti kita kecapi selama 62 tahun sebelum 2018. Negara kita kedua terbaik di Asia selepas China, pertumbuhan ekonomi, setiap tahun berpuluh bilion,” katanya,