Hamid hilang hak ulas isu ‘kartel polis’, kata EAIC

Hamid hilang hak ulas isu ‘kartel polis’, kata EAIC

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan berkata bekas Ketua Polis Negara tidak memberikan bukti yang dapat menyokong dakwaannya bahawa wujud kartel dalam polis.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membidas kenyataan bekas Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador berhubung isu “kartel polis”, dengan berkata, beliau telah hilang hak untuk mengulas berkenaan isu itu.

Dalam satu kenyataan, EAIC berkata, Hamid tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaan beliau bahawa wujud kartel dalam pasukan polis dan tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat.

“Beliau mengakui selaku Ketua Polis Negara (KPN) tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana- mana mesyuarat melibatkan Pengarah-pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” menurut kenyataan.

Kenyataan EAIC yang ditandatangani oleh pengerusinya Sidek Hassan, timbalan dan lima pesuruhjaya itu dibuat susulan selepas kritikan Hamid terhadap suruhanjaya itu.

Hamid terdahulu mengeluarkan kenyataan bahawa dapatan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam pasukan polis adalah “cetek dan tidak betul”.

Bagaimanapun, barisan pesuruhjaya EAIC mendapati Hamid tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020.

“Beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media.

“Sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan,” katanya.

Kata EAIC lagi, Hamid sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci sebelum didedahkan kepada media.

Keterangan saksi dalam siasatan EAIC menyatakan, kenyataan Hamid berkenaan kewujudan ‘kartel polis’ pada saat akhir kontraknya ditamatkan menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.

EAIC juga menegaskan bahawa Hamid tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), malah enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.