
Dalam wawancara dengan FMT, beliau berkata, kurang hebahan daripada kerajaan persekutuan mengenai pindaan perlembagaan Undi18 dan bagaimana belia berusia 18 hingga 20 tahun kini boleh mengundi.
Katanya, Putrajaya memikul tanggungjawab utama menyediakan maklumat kepada pengundi muda mengenai penglibatan mereka dalam PRN Johor.
Marina berkata, DAP telah menjalankan program untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai hak mengundi dan lokasi pusat mengundi.
“Bagaimanapun, sebahagian besar tanggungjawab masih terletak pada kerajaan. Kerajaan perlu lebih proaktif dan tidak boleh menyekat hak golongan muda untuk mengundi,” katanya.
Marina akan bertanding dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi itu dalam penampilan pertamanya sebagai calon pilihan raya, menentang Khoo Kong Ek (PN-Gerakan) dan Lim Soon Hai (BN-MCA).
Lebih 60% daripada pengundi di Skudai berbangsa Cina, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Skudai diwakili wakil rakyat berbangsa Cina sejak 1995, dengan Gerakan memegang kerusi itu sebelum bertukar tangan kepada DAP pada 2008. Sejak itu, DAP mengekalkan kerusi berkenaan selama tiga penggal.
Marina berkata, beliau tidak merasai sebarang kekurangan untuk bertanding di kawasan majoriti Cina menentang dua calon berbangsa Cina. Salah seorang lawannya, Khoo, pernah menjadi ADUN Skudai dari 1999 hingga 2004.
“Kita perlu buang mentaliti bahawa kita hanya boleh bantu orang daripada kaum yang sama. Saya rasa, jika calon itu jujur dalam membantu orang ramai, kawasan yang ditandingi tidak sepatutnya menjadi halangan,” katanya.
Merujuk kepada banjir yang berlaku di Johor baru-baru ini, beliau berkata, jelas bahawa kerajaan negeri tidak mengambil berat tentang rakyat, selain menambah bahawa pengundi mahukan pentadbiran baharu untuk menerajui negeri itu.
“Pengundi akan ingat. Mereka sudah bosan dengan kerajaan ini dan sedang mencari perubahan,” katanya.