Perkasa BM untuk urusan rasmi dalam negara dahulu, kata CUEPACS

Perkasa BM untuk urusan rasmi dalam negara dahulu, kata CUEPACS

CUEPACS berharap kerajaan bertegas melaksanakan cadangan menggunakan bahasa Melayu terutamanya melibatkan urusan rasmi dalam negara.

Presiden CUEPACS Adnan Mat, berkata ketika ini masih banyak agensi kerajaan menganjurkan majlis, tetapi tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan mengambil langkah berani menggunakan bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi kerajaan, malah menolak usaha itu sebagai langkah terkebelakang, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat.

Katanya, sebaliknya, usaha berkenaan bukti kerajaan bersungguh-sungguh memartabatkan semula bahasa Melayu.

Adnan berkata, pihaknya tidak melihat perkara itu sebagai suatu masalah kerana seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kecanggihan teknologi ketika ini tidak menghalang bahasa diterjemahkan dalam tempoh singkat.

“Jika negara lain boleh melakukannya, mengapa kita perlu banyak alasan untuk melaksanakannya. CUEPACS berharap kerajaan bertegas dalam melaksanakan cadangan ini terutamanya melibatkan urusan rasmi dalam negara sendiri.

“Penggunaan bahasa Melayu dalam apa jua urusan rasmi kerajaan dalam negara wajar dilakukan terlebih dahulu, sekiranya mahu ia dilaksanakan secara meluas di luar negara,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata, ini kerana ketika ini masih banyak agensi kerajaan yang menganjurkan majlis tetapi tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian dan perkara tersebut juga wajar diperluaskan di badan-badan berkanun persekutuan dan negeri.

Semalam, Ismail dalam lawatannya ke Thailand berkata Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.