Lebih 100 mangsa banjir terperangkap di surau lebih 6 jam

Lebih 100 mangsa banjir terperangkap di surau lebih 6 jam

Banjir melibatkan 100 penduduk di Lubuk Jong, Pasir Mas itu menyebabkan mereka terperangkap lebih enam jam dan terpaksa berlindung di surau.

Salah seorang mangsa banjir berkata dia terpaksa berlindung untuk menyelamatkan diri berikutan air di kawasan kediamannya naik secara mendadak sejak petang semalam. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Lebih 100 penduduk di Taman Perumahan Prima dekat Lubuk Jong, di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih enam jam akibat banjir sehingga terpaksa berlindung di surau taman perumahan berkenaan sejak 2 pagi tadi.

Siti Hariaty Bee Mohd Ismail, 39, berkata dia terpaksa berlindung untuk menyelamatkan diri berikutan air di kawasan kediamannya naik secara mendadak sejak petang semalam.

“Saya bersama tiga anak berusia antara lima hingga 14 tahun terpaksa mengharungi banjir sejauh 300 meter pada jam 2 pagi tadi selepas rumah dimasuki air hampir satu meter.

“Apabila hujan berterusan tanpa henti dan air naik dengan cepat, saya terus mengambil keputusan untuk berteduh di surau kawasan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Nazura Che Ali, 51, pula berkata dia tidak menyangka kejadian menjadi buruk selepas paras air meningkat secara mendadak dalam tempoh yang singkat.

“Saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang keperluan termasuk barangan jualan habis rosak selain peti ais juga terbalik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Mas Mohd Arif Mohd Zain ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk yang memaklumkan kejadian itu sekitar jam 3 pagi tadi.

“Disebabkan faktor keselamatan, kami memulakan operasi memindahkan mangsa banjir bermula jam 8 pagi dengan kekuatan anggota seramai lima orang menggunakan sebuah trak tujuh tan.

“Kita berjaya memindahkan mangsa banjir mengikut keutamaan terlebih dahulu seperti warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). Semua mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Apam Putra, Pasir Mas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.