
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 3.30 petang melalui panggilan daripada Sistem MERS 999 yang memaklumkan terdapat seorang lelaki warga tempatan yang telah menembak dirinya sendiri dengan menggunakan senjata api.
“Mangsa yang berusia 35 tahun merupakan seorang pegawai kanan polis yang sedang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, dekat sini.
“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai telah menembak dirinya sendiri pada bahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol,” katanya dalam kenyataan.
Beh berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas pada pukul 3.59 petang.
Katanya, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.
“Punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Beh berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Foo Keat How ditalian 012-7461500 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.
Individu yang mempunyai masalah boleh menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders menerusi talian 03-79568145/8144 pada bila-bila masa, atau melalui e-mel [email protected]